Penyanyi dan bintang GegarVaganza 6, Nur Fatima kini muncul dengan lagu baharu berjudul Galeri.

Tidak berseorangan, lagu ini agak istimewa apabila Galeri juga menampilkan artis rap wanita iaitu Kayda.

Menurut Nur Fatima, sedikit kelainan ditampilkan kali ini apabila lagu tersebut menampilkan genre balada pop dengan elemen hip hop.

“Single kali ini saya membawa kelainan dengan membawakan genre balada pop dengan elemen hip-hop yang disampaikan oleh Kayda.

“Dia mempunyai suara rap yang bagus, bertenaga dan sekaligus membawa aura yang lebih moden kepada lagu Galeri.

“Untuk proses rakaman, suntingan dan adunan pula, ia mengambil masa selama dua minggu dan dilakukan di Studio Enormus milik komposer Omar K.

“Memandangkan saya dan Omar K pernah bekerjasama sebelum ini, jadi agak senang dan cepat proses rakaman tersebut dijalankan.

“Dia juga sudah tahu tahap kemampuan dan kebolehan suara saya dari segi skala vokal dan gaya nyanyian.

“Selain itu saya juga dapat berkenalan dengan komposer-kompser baru yang muda dan berbakat. Bagi saya ini seperti sebuah sebuah pengalaman manis dala hidup saya,” ujarnya ketika sidang media perlancaran lagu berkenaan yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Galeri merupakan karya yang ditulis dan digubah oleh komposer-komposer hebat seperti Omar K, Audi Mok, Altimet, Firdaus Rahmat serta Mas Dewangga.

Galeri boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music.

Video muzik lagu ‘Galeri’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube