HIBURAN

"Gangguan Pandangan Mata, Iri Hati, Dengki Memang Wujud" - Wawa Zainal

Amri Hassan 22/07/2025 | 21:45 MYT
Pelakon dan usahawan Wawa Zainal, mengakui sistem imun tubuhnya semakin merosot seiring pertambahan usia, sekali gus tidak menolak kemungkinan masalah kesihatan yang dialami sejak setahun lalu mempunyai kaitan dengan penyakit ain.

Wawa, 34, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, bagi menghadapi ujian itu, dia memperbanyakkan amalan kerohanian selepas solat seperti berzikir dan membaca al-Quran, di samping mendapatkan rawatan hospital dan mengambil vitamin tambahan.

“Saya mula kerap keluar masuk hospital sejak tahun lepas, berpunca daripada demam, gastrik, badan lemah dan beberapa masalah lain. Sedangkan sebelum ini, nak demam setahun sekali pun susah.

“Apabila ibu sakit, anak-anak pun mudah terkena jangkitan. Kita kena husnuzon, tapi tetap perlu berjaga-jaga kerana gangguan daripada pandangan mata yang disertai rasa iri hati atau dengki itu memang wujud.

“Kita perbanyakkan solat sunat, zikir, dan membaca al-Quran. Mohon pada Allah agar keluarga kita dihindarkan daripada penyakit ain ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran produk baharu Wawa Global Kosmetik, New Chapter, baru-baru ini.

Wawa yang hadir ditemani suami tercinta, Aeril Zafrel, pada majlis pengenalan krim pelindung matahari di sebuah pusat pickleball di TREC, turut memaklumkan bahawa dirinya masih dalam proses pemulihan daripada batuk dan sakit tekak.

Awal bulan lalu, Wawa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selama beberapa hari selepas mengalami serangan gastrik kronik.

Kini lebih berhati-hati dalam soal pemakanan, ibu kepada empat cahaya mata itu juga dengan rendah hati memohon maaf kepada sesiapa yang mungkin pernah terguris hati dengannya.

“Harapan saya semoga dapat kembali sihat seperti sediakala, sebab bila sakit, banyak urusan jadi tergendala. Kalau saya ada salah atau silap dengan sesiapa, saya minta maaf.

“Sekarang pun saya dah mula pantang makan. Tak ambil minuman bergas, tak minum yang manis, dan terpaksa elak susu sebab perut mudah berasid dan cepat kena gastrik,” tambahnya.



Dalam pada itu, Wawa turut memperkenalkan penjenamaan semula dan pembungkusan baharu bagi tiga produk pelindung matahari keluarannya. Usaha ini dilakukan bagi membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.

Identiti baharu Wawa Global tampil lebih elegan dan meyakinkan, dengan sokongan wajah-wajah kempen popular seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta pasangan sensasi Umisya Mazlan dan Ahmad Aslam.
#Viral #Sakit #Wawa Zainal #Usahawan #Penyakit #Ain