BERITA

Gangguan Pempengaruh, Kawalan Keselamatan PPS Putra Heights Dipertingkat

Gempak 04/04/2025 | 12:25 MYT

Tahap kawalan keselamatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dekat Masjid Putra Heights dipertingkat selepas mangsa dikatakan diganggu pihak luar, termasuk pempengaruh.

Difahamkan, hanya kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dibenar masuk ke PPS berkenaan, manakala pihak luar termasuk Jemaah Menteri perlu mendapatkan kebenaran untuk masuk ke premis terbabit.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketetapan itu terpaksa dibuat bagi menjaga privasi mangsa insiden letupan gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu.

Keputusan itu, katanya, dibuat selepas pihaknya malam tadi, menerima aduan mangsa tidak 'selesa' dengan kehadiran pelbagai pihak di PPS berkenaan sejak premis itu mula beroperasi.
Beliau berkata, keputusan itu antara lain dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan, selain meminimumkan risiko jangkitan penyakit berjangkit sepanjang mangsa di tempatkan di PPS berkenaan.

"Kita dapat laporan sebahagian penghuni sudah 'jenuh' dan letih membuka tirai (khemah) masing-masing (kerana kehadiran ramai), jadi kita hadkan sedikit.

"Selain itu, ruangan khusus disediakan bagi waris mangsa datang menziarahi mereka, memandangkan ada segelintir datang beraya di PPS berkenaan," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.

BH Selasa lalu, melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.

Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Sumber: Berita Harian

#Kebakaran #Privasi #PPS #Pempengaruh #Putra Heights