Seramai 10 peserta terbaik dalam bidang nyanyian akan dipilih untuk digilap bakat sebagai penyanyi profesional.

Menariknya, bakat baru ini bukan saja diberi peluang untuk merakam single tapi sebagai jaminan terhadap kerjaya seni yang baru bermula, mereka juga ditawarkan kontrak bersama syarikat rakaman.

Pengarah Pemasaran dan Promosi, Our Records Sdn Bhd, Kamal Kasim berkata, mereka yang berminat untuk mencuba nasib dalam ujibakat ini perlu menghantar video nyanyian mereka.

"Kami mempunyai juri profesional terdiri daripada penyanyi popular, Aishah dan Man Bai yang akan menilai bakat peserta ini nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, penganjur menjangkakan hampir 100 peserta akan menghantar video untuk peringkat saringan ini nanti.

"Kami mahu membuat perubahan pada mereka yang diambil sebagai penyanyi. Sebagai galakan pada penyanyi ini nanti, mereka juga akan diberikan elaun sebagai pendapatan.

"Tidak kira mereka yang tiada pengalaman mahupun artis, mereka boleh mencuba nasib dalam ujibakat ini," katanya.



Ujarnya, ujibakat ini terbuka pada mereka yang berusia 16 hingga 25 tahun dan ia akan dijalankan bermula 4 November ini.

Ujibakat secara jelajah yang menggunakan premis hiburan Neway Karaoke Box ini akan bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.ourrecordsasia.com.

Teks oleh: Elrafaei Sapi