Watak Kak Ros yang ditampilkan di dalam siri animasi Upin & Ipin telah menjadi antara topik hangat di Twitter ketika ini apabila tersenarai dalam bahagian 'trending'.

Semuanya gara-gara satu posting seorang individu dikenali sebagai Alyaa yang meluahkan pendapat terhadap siri animasi berkenaan.

"Berhenti guna aku kau. Kak Ros stop cakap kasar dan jerit-jerit.

"Buang karakter Sally (abang Salleh). Hasilkan kandungan yang lebih ada nilai moral, kalau tak cancel je show.

"Hentikan juga ayat 'betul betul betul'...tak comel," katanya.

Walaubagaimanapun, posting tersebut difahamkan telah dipadam selepas dikecam netizen.

Menerusi posting terbaru, Alyaa menjelaskan dia terpaksa memadam 'tweet' tersebut kerana ada netizen yang telah melampaui batas.

"Kamu semua tidak boleh menerima pandangan pihak lain dan sekarang mahu libatkan anak kecil yang tidak bersalah pula," katanya.

Menerusi pemantauan Gempak di Twitter, sesetengah netizen merasakan pendapat Alyaa tidak begitu realistik.

Kebanyakan mereka menganggap perbualan 'kau aku' itu adalah normal dalam percakapan seharian.

Anda boleh lihat antara luahan mereka di bawah.
Untuk rekod, siri kartun berkenaan antara yang menjadi kegemaran kanak-kanak sejak ia disiarakan pada tahun 2007 hingga kini.

Difahamkan sehingga Mei tahun lalu, siri berkenaan telah memasuki musim kelapan.