Jika anda masih ingat salah satu babak dalam filem Hantu Kak Limah, Nayan lakonan Ropie ada menyanyikan sepotong lagu ketika tiba di klinik desa tempat dia bekerja.

Kemudian, lagu itu bersambung dalam babak lain ketika Nayan berada di dalam kereta bersama Zul Ariffin (melakonkan watak Solihin).

Malah, jika anda terlepas Ropie juga pernah sekali menyanyikan lagu yang sama ketika di pentas Gegar Lawak awal tahun ini.

Sebenarnya lagu itu merupakan sebuah lagu iklan jus kotak yang pernah dihasilkan pada tahun 1983.

Iklan air minuman Joy itu yang pada mulanya dimuat naik sejak enam tahun lalu sekadar mencecah ratusan tontonan kini mencatatkan lebih 81,000 tontonan.

Ada antara pengunjung yang kembali mencari iklan air minuman itu gara-gara lakonan Ropie dan Solihin.

"Hantu Kak Limah yang bawa aku datang tengok iklan ni," tulis Azmir Faizal.

"Hantu kak limah bawak aku kesini selepas puluhan tahun aku dah lupa lagu ni. Dengar lagu ni dalam filem Hantu Kak Limah terus buat aku tersenyum dan cari versi penuh," tambah Anuar Yahaya.

"Tahniahlah siapa yang cipta lagu ni, 35 tahun berlalu tiba-tiba ada yang pakai dalam filem," tulis pengguna lainnya.

Hantu Kak Limah telah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kutipan melebihi RM13 juta sejak ditayangkan Khamis minggu lalu.

Filem ini merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Hantu Kak Limah menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Awie, Delimawati, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.



Kredit: YouTube