Gara-gara terharu dengan permintaan ikhlas seorang suami untuk isteri tercinta, buat pertama kalinya pelakon Izara Aishah bersetuju untuk membuat tutorial bagi gaya tudung berkenaan.

Ia bermula selepas seorang lelaki menulis di Twitter meminta Izara untuk berkongsi cara memakai gaya tudung dalam salah satu gambar photoshoot. Ini kerana si isteri mengakui cukup terpikat dengan penampilan sopan seperti itu.

Meskipun akui tidak biasa melakukan tutorial tudung sebelum ini, Izara tetap menuruti dengan memuat naik video ke akaun TikTok miliknya dengan menunjukkan cara-cara memakai tudung gayanya itu.

Video itu telah menarik perhatian ramai dengan cara lemah lembut pelakon wanita itu yang kelihatan agak kekok tapi tetap berusaha menunjukkan turorial berkenaan.

Sejak semalam video itu tular dan ramai wanita telah meniru gaya tudung mengikut style Izara dan pelakon itu pula memuat baik semula rakaman peminatnya di Insta Story miliknya.

Rata-rata gembira dan suka dengan style tudung itu yang dikatakan lebih sopan dan manis menutupi bahagian dada dan belakang.

“Hari ini pakai shawl ikut gaya Izara Aishah,” tulis salah seorang peminatnya.

Sejak melalui episod penghijrahan, penampilan baru pelakon terkenal Izara Aishah sering sahaja menjadi tumpuan ramai.

Sekadar info, Izara telah mendirikan rumah tangga bersama anak tiri penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid pada tahun 2017.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Irisa Alaia yang kini berusia dua tahun.