Hiburan
Gara-gara Kontraktor, Rita Rudaini Rugi Ratusan Ribu Ringgit
Pelakon Rita Rudaini mendedahkan kerugian hampir RM150,000 kerana kerosakan di restoran miliknya, Rumah Kueh.
Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, Rumah Kueh mengalami kerosakan seminggu sebelum Ramadan baru-baru ini.
Disebabkan itu Rita terpaksa menanggung kerugian kerana masalah kualiti pengubahsuaian yang oleh kontraktor dilantik sebelum ini
“Pada awalnya, saya rancang operasi Rumah Kueh bermula pada bulan Mac tahun ini, tetap disebabkan masalah pengubahusaian, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga bulan puasa.
“Saya dah laburkan ratusan ribu untuk Restoran Kueh dan terpaksa tanggung kerugian dengan harga yang sama kerana menanggung kerosakan dialami.
“Kontraktor sebelum ini tidak menjalankan pengubahasuaian dan pembinaan dengan betul sehingga saya terpaksa menukar dan menggunakan khidmat pereka lain iaitu, Ben Firdaus yang tahu citarasa saya,” katanya kepada Astro Gempak.
Rita Rudaini ditemui sewaktu majlis rumah terbuka di Rumah Kueh yang terletak di Sunway Nexis, Kota Damansara, Selangor.
Tambah Rita, perbincangan telah dilakukan dengan kontraktor dilantik sebelum ini, namun gagal menunaikan rekaan seperti yang dirancang.
“Sebelum ini saya dah bagitahu mereka tentang apa yang patut dilakukan. Tapi saya mengaku jarang melakukan pemantauan ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan. Bila saya datang ke kedai, semuanya dah jadi lain,” ujarnya.
Dalam pada itu Rita turut berkongsi pengalaman sebelum membuka Rumah Kueh.
Jelasnya, idea untuk membuka Rumah Kueh selepas kesukaran mendapat makanan tradisional di kawasan tempat tinggalnya.
“Sebenarnya saya dah lama pasang niat untuk jalankan bisnes. Saya suka makan makanan melayu dan kebetulan agak sukar untuk cari kedai masakan Melayu Tradisional di Kota Damansara sebab kebanyakannya kedai mamak dan Western.
“Alhamdulillah ada rezeki sikit terus terfikir apa salahnya buka restoran menjual kuih-kuih tradisional serta masakan Melayu ala kampung seperti gulai dan ulam-ulaman.
“Setakat ini Rumah Kueh menawarkan 18 jenis kuih tradisional untuk para pelanggan dan Insya-Allah banyak lagi tambahan menu pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu Rita merancang untuk membuka cawangan baru jika perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan.
“Insya-Allah kalau ada rezeki lebih saya bercadang untuk tambah cawangan di tempat lain.
"Melihatkan sambutan setakat ini, ramai juga pelanggan dari tempat lain (luar kawasan Damansara) sanggup datang ke Rumah Kueh.
"Mudah-mudahan Rumah Kueh akan berkembang dan mempunyai beberapa cawangan tidak lama lagi," katanya.
Must-Watch Video