Filem The Garden of Evening Mist (TGOEM) berada di kedudukan carta nombor dua bagi Filem Pilihan Penonton di Festival Filem Golden Horse Taipei ke-56.

Kedudukan tersebut berdasarkan undian penonton ke atas lebih 150 filem yang dipertandingkan pada festival berkenaan.

Bukan itu sahaja, daripada sembilan pencalonan, TGOEM turut berjaya merangkul anugerah bagi kategori Solekan dan Rekaan Kostum Terbaik pada festival yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Kategori tersebut diwakili tenaga produksi Nikki Gooley, Biby Chow, Penny Pei-ling Tsai dan Nina Edwards.

Sementara itu, lapan kategori lain yang turut tercalon adalah Naratif Terbaik (Astro Shaw Sdn. Bhd.,HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom Shu-yu Lin), Pelakon Wanita Terbaik (Sinje Lee), Adaptasi Lakon Layar Terbaik (Richard Smith), Sinematografi Terbaik (Kartik Vijay), Pengarahan Seni Terbaik (Penny Pei-ling Tsai, Lum Heng-soon, Chen Hsuan-shao), Skor Filem Asal Terbaik (Onn San), dan Suntingan Filem Terbaik (Soo Mun-Thye).

Karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersama CJ Entertainment itu merupakan karya adaptasi novel nukilan penulis tempatan, Tan Twan Eng.

Ia diarahkan oleh pengarah prolifik dari Taiwan, Tom Shu-Yu Lin yang pernah memenangi pelbagai anugerah.

Naskhah adaptasi berkenaan menggabungkan tenaga produksi antarabangsa yang merangkumi dari Taiwan, Jepun, Malaysia, Singapura, India, Australia dan United Kingdom.

Karya tersebut mengetengahkan barisan pelakon antarabangsa seperti Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After the Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl with the Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

TGOEM menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia II di Tanah Melayu.

Yun Ling kemudian cuba mencari kebebasan di sekitar kawasan bukit-bukau di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).

Terdahulu, TGOEM membuat tayangan di Festival Filem Antarabangsa Busan ke-24 (BIFF) dalam kategori 'A Window on Asian Cinema' pada Oktober 2019 dan ditayangkan di Festival Filem Hong Kong Asian sebagai 'Gala Presentation' pada 14 November lalu.

Filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia itu dijangka menemui penonton di negara ini pada Januari 2020.