Filem The Garden of Evening Mists (TGOEM) berjaya merangkul anugerah Filem Cereka Terbaik (Best Feature Film) di Asian Academy Creative Awards (AACA) yang berlangsung secara maya sebentar tadi.

TGOEM berjaya mengetepikan empat pencalonan filem lain dalam kategori sama iaitu Mariposa (Indonesia), Stranger's House (Myanmar), Hello Love Goodbye (Filipina) dan Dear Orange (Taiwan).

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menzahirkan rasa kesyukuran atas kemenangan ini.

“Terima kasih yang tak terhingga. Ini merupakan satu penghargaan yang cukup besar untuk filem TGOEM memenangi Filem Cereka Terbaik.

“Saya mewakili Astro mengucapkan terima kasih kepada panel juri AACA atas penghargaan ini. Kami rasa sangat teruja!

“Terima kasih kepada Tan Twan Eng untuk buku yang pernah memenangi anugerah ini, Richard Smith untuk skrip yang terbaik, kepada Sinji Lee, Hiroshi Abe dan Sylvia Chang untuk memainkan watak penting serta Tom Lin untuk menghidupkan segalanya di skrin besar.

“Penghargaan istimewa untuk Elyce Chin, penerbit yang sangat berdedikasi.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada FINAS, HBO dan CJ kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepada kami semua.

“Semoga kita terus menghasilkan karya berkualiti untuk filem Malaysia! Terima kasih!” katanya.

TGOEM merupakan filem adaptasi novel hasil karya anak tempatan, Tan Twan Eng yang menggunakan tenaga produksi dari beberapa buah negara termasuklah, Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan United Kingdom.

Antara nama besar yang menjayakan filem tersebut termasuklah Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After The Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

Filem yang mendapat sentuhan sutradara Taiwan, Tom Shu Yu Lin itu menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).

TGOEM merupakan filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan CJ Entertainment.