Penyanyi, Syura berkongsi video terkini keadaan suaminya, Muhammad Farizat yang dimasukkan ke hospital kerana melecur akibat letupan gas memasak.
Dalam perkongsian itu, Syura mendoakan suaminya agar kuat menghadapi ujian daripada Allah SWT.
“Tetaplah kuat suami ku supaya aku juga terus kuat dengan ujian ini.
“Kita di uji kerana Allah tahu kita mampu menghadapinya, percayalah akan ada pelangi untuk kita nanti,” kata Syura.
Menurut pelantun lagu Nazam Berkasih itu, dia berjanji akan tetap bersama suaminya meskipun sedang berdepan dengan ujian yang berat.
“Tak mengapa bie, kita akan lalui perkara ini bersama.
“Janji dengan saya, awak akan sentiasa kuat dan saya akan sentiasa berada disamping awak,”tambahnya.
Menerusi hantaran di Instagram pada Selasa, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron,38, berkongsi momen ketika suaminya sedang dihantar masuk ke bilik bedah.
Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan selebriti turut mendoakan pasangan itu kuat menghadapi ujian tersebut.
Terdahulu, Syura memaklumkan bahawa suaminya telah melecur di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku ketika Syura dan suami menginap di sebuah rumah di Perlis, Jumaat lepas.