"Gaun Kahwin Saya Pernah Kena Curi Dan Dicarik-Carik!" - Isteri Fazley Yaakob Dedah Pernah Jahit Baju Kahwin Sendiri

Amri Hassan
Disember 5, 2018 02:35 MYT
Isteri Datuk Fazley Yaakob, Datin Azrene Ahmad mendedahkan dia pernah berdepan pengalaman menyedihkan apabila gaun perkahwinannya 13 tahun lalu dicuri dan dikoyakkan.
Kata Azrene, dia bagaimanapun bernasib baik kerana mempunyai persalinan tambahan yang dipulangkan oleh seorang pereka fesyen dalam keadaan separuh siap.
"Ketika perkahwinan saya sebelum ini, gaun saya telah dicuri dan dicarik-carik.
"Mujurlah saya ada menyimpan sepasang gaun yang mana telah dihantar oleh seorang pereka fesyen sebelum itu dalam keadaan tidak siap.
"Saya menghabiskan masa sepanjang malam menangis sambil menjahit labuci dan dres itu," dedahnya menerusi entri di Instagram.
Azrene dalam pada itu turut memuji kehebatan pereka fesyen Fiziwoo yang telah menghasilkan busananya untuk majlis persandingan semula dengan Fazley pada 27 November lalu.
Malah, Azrene merasakan dirinya seolah-olah ikon muslimah popular, Sheikha Mozza setelah ditatarias sebegitu cantik pada majlis tersebut.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga berjaya diyakinkan oleh pereka fesyen itu untuk menyarung kasut tumit tinggi lima inci untuk majlis itu.
Fazley dan Azrene telah mengadakan majlis persandingan semula sempena meraikan ulangtahun perkahwinan mereka ke-13 baru-baru ini.
Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 7 November 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma, lapan bulan.
#Kahwin #Kahwin #Datuk Fazley Yaakob #Datin Azrene Ahmad