Laman Utama
Gaya Menyanyi & Vokal Diparodikan, Netizen Backup Andika Kangen Band, Senaraikan Kebaikannya Bina Rumah Anak Yatim
Dunia muzik Indonesia saat ini sedang kecoh dengan tindakan dua orang Youtuber yang membuat parodi cara vokalis Kangen Band, Andika menyanyi.
Bukan mendapat sokongan, tindakan Tri Suaka dan Zinidin Zidan yang memparodikan gaya nyanyian mendayu, mimik wajah serta lantunan vokal Andika kemudian dikritik netizen tempatan.
Mereka beranggapan perlakuan memparodikan gaya nyanyian Andika sebagai sebuah sikap kurang sopan, biadab dan tidak menghormati pemuzik yang menjadi idola banyak peminat sejak kumpulan tersebut muncul dalam industri hiburan sejak tahun 2005.
Selain mengkritik sikap dua anak muda tersebut, netizen mula menyenaraikan prestasi Kangen Band yang sudah berusia 17 tahun dalam industri muzik tempatan.
Kangen Band yang cukup popular dengan lagu Tentang Aku, Kau dan Dia dikatakan menerima bayaran melebihi RM100,000 untuk sekali kemunculan.
Malah kini, band ini sedang viral semula selepas lagu Cinta Mati dendangan mereka popular sehingga ke Malaysia. Andika juga memberitahu sedang menggarap Cinta Mati 2 selepas lagu pertamanya meledak dan menaikkan semula nama Kangen Band.
Menerusi laporan Insertlive, salah satu tindakan mulia yang dilakukan Andika sepanjang menyanyi adalah tidak pernah mengambil duit hasil dari penampilannya di platform YouTube.
Dalam sebuah video podcast, terkuak bahawa Andika memiliki sebuah rumah anak yatim yang dibangunkan hasil dari pendapatan sebagai pemuzik.
“Saya beli rumah dan tanah hasil duit persembahan. Tapi pendapatan yang diperoleh dari YouTube saya gunakan untuk rumah anak yatim.
“Jujur, saya tidak pernah mengambil satu sen pun duit dari YouTube kerana selain membayar pekerja untuk konten saya, semuanya saya serahkan buat anak yatim,” kata Andika dalam temubual tersebut.
Sementara itu, biarpun kedua YouTuber tersebut telah meminta maaf, subscribers mereka telah berkurang lebih satu juta sebagai tanda boikot dan ada yang meminta Andika mengambil tindakan saman kerana telah memalukannya di media sosial.
Must-Watch Video