HIBURAN
Gayakan Busana Troides Helena, Netizen Terpegun Lihat Kecantikan Saroop Roshi Di Miss World - “Cantik Betul…”
Ratu cantik Malaysia, Saroop Roshi menarik perhatian netizen selepas tampil dengan busana yang diinspirasikan daripada kupu-kupu Troides Helena.
Menerusi hantaran di Instagram Miss World, Saroop kelihatan cantik menggayakan busana berwarna kuning dengan taburan kupu-kupu Troides Helena yang direka khas oleh pereka fesyen Malaysia, Hatta Dolmat.
“Saya tahu saya ingin membawa sesuatu ke pentas dunia dengan mencerminkan tujuan hidup saya dan siapa saya yang sebenarnya. Hatta Dolmat telah berjaya merealisasikan visi itu dengan indah.
“Rama-rama melambangkan harapan, kekuatan dan semangat kebebasan yang berkekalan,” katanya menerusi ruangan komen di Instagram Miss World.
Dalam pada itu, Saroop juga berkongsi mengenai penyertaannya dalam Miss World adalah untuk meneruskan misi yang sudah dia mulakan sejak enam tahun lalu.
Jelasnya, dia mahu membawa semangat anak-anak yang telah dia santuani sejak bekerjasama dengan platform Unmaskyourself.
“Seperti yang saya selalu katakan, saya berada di sini bukan hanya untuk mewakili diri saya namun untuk meneruskan misi saya yang telah saya mulakan sejak enam tahun lalu bersama Unmaskyourself MY dan untuk membawa semangat anak-anak yang saya telah berpeluang berjumpa dengan mereka,” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terpegun dengan kecantikan Saroop dan busana yang digayakannya.
“Beauty like butterfly Queen.
“OMG @saroop_roshi gorgeous and stunning in yellow.
“cantik betul..nie tinggal letak crown je atas kepala..Miss World 2025
“Absolutely beautiful!
“Beautiful, Malaysia Boleh.
“amazing work to the team who made this happened! all the best 🤍,” komen netizen.