Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

GEGAR Anjur Ibadah Korban Untuk Kampung Di Kelantan

Amri Hassan 22/07/2021 | 13:18 MYT
Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, GEGAR, jenama radio pilihan nombor satu di Pantai Timur, menganjurkan ibadah korban menerusi ‘Korban Raya GEGAR 2021’.
Menerusi ibadah itu, GEGAR telah mengagihkan daging korban kepada tiga buah kampung di Tanah Merah, Kelantan iaitu Kampung Padang Lalang, Kampung Banggol Nering, Kampung Batu Hitam.
Kata Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana Raja Hisham, ibadah ini masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengehadkan jumlah peserta.
"Kami bersyukur berpeluang menjalankan ibadah korban dan mengagihkan sumbangan ini kepada peminat-peminat kami di Kelantan tahun ini.
"Disebabkan norma baharu dan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti turun padang seperti ini dihadkan.
"Namun, dengan kerjasama dan bantuan Geng GEGAR Fan Club (GGFC) dari Tanah Merah sendiri, usaha ini dapat dijalankan untuk kami berkongsi rezeki bersama peminat dan penduduk kampung dalam meraikan Hari Raya Aidiladha ini," ujarnya.
Proses penyembelihan serta pengagihan daging korban dikendalikan oleh Geng GEGAR Fan Club (GGFC) di Tanah Merah, dan daging korban diagihkan kepada hampir 145 buah rumah dari kampung-kampung tersebut.
Selain melaksanakan ibadah yang dituntut dalam Islam, tujuan penganjuran ‘Korban Raya GEGAR 2021’ adalah untuk berkongsi rezeki bersama peminat di Kelantan dan sebagai tanda terima kasih kepada peminat atas sokongan mereka kepada jenama GEGAR.
Penganjuran ibadah korban ini diluluskan dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
#Daging #Kelantan #GEGAR #Aidiladha #Korban
;