UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
GEGAR VAGANZA 11

Gegar Vaganza 11: Yakin Tidak Ke Final, Arrora Salwa Kembali Bertugas sebagai Pramugari - “Saya Dah Cakap Awal-Awal…”

Asyraf Roslan 01/02/2025 | 07:55 MYT

Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Arrora Salwa mendedahkan bahawa dia tidak sempat berehat selepas tersingkir dari pentas pertandingan itu baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Ahmad ini, dia terus menyambung jadualnya dengan penggambaran drama dan akan kembali bertugas sebagai pramugari kerana cutinya telah tamat.
Namun, Arrora belum membuat keputusan sama ada akan terus aktif dalam industri seni atau kembali fokus sepenuhnya kepada kerjayanya sebagai pramugari.

“Sebenarnya, selepas habis sahaja GV, saya belum berehat lagi. Saya masih ada penggambaran dan sebelah petang saya akan terbang semula sebab cuti saya dah habis hari ini (31 Januari),” katanya.

"Buat sementara waktu ini, saya akan terbang dulu. Tengok macam mana perjalanan seni saya nanti. Kalau memberangsangkan, kita akan fikirkan semula. Tapi buat masa sekarang, saya tak boleh buat keputusan terburu-buru," jelasnya.

Dalam pada itu, pemilik nama Salwa Md Razak turut mendedahkan bahawa dia tidak mengambil cuti hingga tamat GV kerana sudah menjangkakan dirinya tidak akan ke peringkat akhir.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana berjaya bertahan sehingga minggu kelapan dalam pertandingan tersebut.

"Saya hanya ambil cuti sampai hujung Januari. Saya memang tak ada keyakinan untuk sampai ke pentas akhir, sebab saya tahu di mana kekurangan dan kelemahan saya," katanya.

"Saya dah cakap awal-awal, saya tiada kekuatan vokal sehebat peserta lain. Biarlah yang lebih layak dan mempunyai vokal mantap ke final. Dapat bertahan sampai minggu kelapan pun sudah cukup bagi saya," tambahnya.

Arrora ditemui media ketika menghadiri Malam Gala bersama #Vaganzers yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

#Gegar Vaganza #Berlakon #Pramugari #Arrora Salwa