Hiburan
Gegar Vaganza 2 (GV2): Amir Ukays Rasa Tak Berbaloi Tersingkir
Vokalis kumpulan Ukays, Amir terpaksa menamatkan persaingannya dalam pertandingan realiti Gegar Vaganza 2 (GV2) pada minggu kelima yang bertemakan ‘Hit Vaganza’.
Bagaimanapun Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusuf merasakan tidak berbaloi tersingkir pada malam tadi (Ahad) kerana lagu ‘Yank’.
“Tidak berbaloi rasanya tersingkir pada minggu ini, kerana lagu ‘Yank’ bukan sebuah lagu yang mencabar vokal saya.
“Tapi, mungkin sudah tertulis rezeki saya terhenti pada malam ini dan saya menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Amir turut menegaskan penyingkirannya tidak ada kaitan dengan kes polis baru-baru ini.
“Saya disingkirkan kerana kekurangan dalam persembahan saya, tiada kaitan dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini,” tegasnya.
Penyingkiran Amir telah diumumkan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse di segmen ‘Ada Lagu, Ada Lagi’.
Program realiti ini menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri profesional manakala Datuk Jamal Abdillah sebagai juri jemputan pada konsert minggu kelima ini.
Tinggal lagi lapan penyanyi popular tanah air iaitu Nassier Wahab, Ezad Lazim, Nizam Laksamana, Acong Sweetchild, Haiza, Siti Nordiana, Azian Mazwan dan Faradhiya akan berentap pada minggu keenam GV2 bertemakan Kenangan Terindah pada minggu hadapan.
Kenangan Terindah bakal menyaksikan para peserta GV2 menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh insan seni yang telah meninggal dunia.
Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123)pada setiap hari Ahad pukul 9 malam.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin