Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Gegar Vaganza 2 (GV2): Amir Ukays Terus Berjuang, Tak Hirau Kontroversi

Ahmad Shah 26/10/2015 | 16:29 MYT

Bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir tidak menghiraukan kontroversi yang menimpanya baru-baru ini malah, akan terus berjuang dalam program Gegar Vaganza 2 GV2).

Amir ketika ditemui selepas konsert minggu kedua GV2 menegaskan dia tidak bersalah dan tidak pernah berasa malu dengan insiden yang berlaku baru-baru ini.
“Nak buat apa saya malu? Saya bukan penjenayah. Saya telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mereka berpuas hati dengan keterangan saya.
“Perjuangan saya dalam GV2 akan diteruskan dan tidak pernah sekalipun saya terfikir untuk menarik diri dari pertandingan ini,” tegasnya.
Tambah Amir lagi walaupun sedikit terganggu ketika menghadapi konsert pada minggu kedua itu, sokongan dari keluarga dan peminat telah menaikkan kembali semangatnya.
“Biarpun nama saya tercalar, selagi saya diterima dalam program ini saya akan teruskan berjuang demi sokongan peminat yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.
“Bagaimanapun saya minta maaf tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai penahanan saya tempoh hari kerana ia masih dalam siasatan dan enggan kenyataan saya nanti menggangu kerja pihak polis," jelasnya.
Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46, telah ditahan pihak polis kira-kira pukul 1.45 pagi pada 21 Oktober lalu kerana dipercayai memiliki senjata api.
Kepada para peminat GV2 jangan lupa untuk menyaksikan konsert ketiga pada Ahad ini yang disiarkan secara langsung bermula pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Selain Amir, peserta GV2 turut disertai oleh Acong (Sweet Child), Ezad Lazim, Nassier Wahab, Nizam (Laksamana), Zul (Handy Black), Farahdhiya, Siti Nordiana, Azian Mazwan, Sheeda, Haiza dan Ezlynn.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin

#Gegar Vaganza 2 #Amir Ukays
;