Hiburan
Gegar Vaganza 2 (GV2): Selepas Mengapa, Siti Nordiana Semakin Popular
Populariti peserta Gegar Vaganza 2 (GV2), Siti Nordiana semakin meningkat selepas persembahannya pada konsert Separuh Akhir pada Ahad lepas.
Menerusi pemerhatian Astro Gempak, video Siti Nordiana menyanyikan lagu Mengapa yang dipopularkan oleh Nicky Astria pada konsert separuh akhir lalu, turut mendapat bilangan penonton paling tinggi.
Setakat ini video persembahan peserta yang berada tempat pertama minggu lepas itu di laman web www.astrogempak.com.my/gegarvaganza telah ditonton hampir 90,000 pelayar sosial.
Sementara itu Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana memberitahu, bimbang dengan kepercayaan yang diberikan penyokongnya.
“Mereka percaya pada saya dan itu adalah satu bebanan kerana saya bimbang tidak dapat memuaskan hati penyokong dan peminat pada konsert akhir nanti.
“Bagaimanapun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang tidak putus-putus mendoakan dan memberi semangat sepanjang berada dalam GV,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Nana dia turut menerima komen negatif daripada pelayar laman sosial, namun menganggapnya sebagai satu teguran untuk memperbaiki kelemahan dalam persembahan.
“Kalau semua pujian mungkin saya juga akan terleka. Oleh itu saya positif menerima apa sahaja teguran,” ujarnya.
Bercakap mengenai persediannya untuk konsert final pada Ahad ini, pelantun suara Cinta Hanya Sandaran itu berkata dia mahu memberi fokus kepada dua persembahannya.
Nana bakal menyanyikan lagu popular Ziana Zain berjudul ‘Putus Terpaksa’ dan lagu penyanyi popular Singapura Taufik Batisah, ‘Awak Kat Mana’di pusingan ‘battle’.
Sama-sama kita saksikan konsert akhir GV2 minggu hadapan, yang dibawakan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan disiarkan di saluran rasmi Astro Ria (saluran 104) serta saluran serentak Ria HD (saluran 123), pukul 9 malam.
Tiket untuk konsert akhir boleh didapati di www.ticketcharge.com.my
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin
Must-Watch Video