Konsert Minggu Kedua Gegar Vaganza 2 (GV2) menyaksikan kesemua peserta telah terselamat dari penyingkiran.

Konsert bertemakan Aku dan Lagu itu dimulakan dengan persembahan pembukaan penuh bertenaga oleh penyanyi tersohor Datuk M. Daud Kilau yang menyanyikan lagu ‘Cik Mek Molek’.

Tidak ketinggalan persembahan dua belas penyanyi iaitu Nassier Wahab, Ezad Lazim, Amir Ukays, Nizam Laksamana, Zul Handy Black, Acong Sweetchild, Sheeda, Haiza, Siti Nordiana, Azian Mazwan Sapuan, Ezlynn dan Faradhiya berjaya memukau 1,000 penonton yang hadir ke Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi (Ahad).

Malah, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap serta Datuk M.Daud Kilau sebagai juri jemputan turut terpukau dengan persembahan mantap dan kehebatan vokal para peserta.

Tidak keterlaluan jika Astro Gempak katakan, peserta GV2 bikin juri pening kepala sehingga sukar untuk mereka mencari kesilapan para peserta seterusnya menghentikan perjalanan mereka pada minggu ini!

Pada minggu hadapan, para peserta akan diuji dalam konsert bertemakan ‘360, Ada Bran?’ yang menyaksikan para peserta bakal menyanyikan lagu di luar genre mereka.

Di bawah merupakan senarai lagu yang bakal dinyanyikan oleh 12 peserta GV2:

1. Nassier Wahab|Tanpa Pesan (Datuk M.Daud Kilau)
2. Ezlynn|Kuda Hitam (Hetty Koes Endang)
3. Ezad Lazim | Mengerti (KRU)
4. Azian Mazuan Sapuan | Tak Ada Logika (Agnes Monica)
5. Nizam Laksamana | Tak Seindah Wajah (Datuk SM Salim)
6. Haiza | Istilah Bercinta (Ramli Sarip)
7. Acong Sweetchild | Pilihlah Aku (Latif Ibrahim)
8. Faradhiya | Joget Siapa Dia (Wann)
9. Sheeda | Hantu Atau Buaya (Nana Sheme)
10. Amir Ukays| Yang Sedang-Sedang Saja (Iwan)
11. Siti Nordiana | Kasihnya Laila (Jinbara)
12. Zul Handy Black| Ku Menunggu (Rossa)

Sementara itu, pengacara GV2 Nabil Ahmad dan Jihan Muse telah diberi tugasan untuk menyanyikan lagu yang dinyanyikan kumpulan pelawak popular Senario dan Haida berjudul Zapin Usik Mengusik.

Siaran langsung GV2 bersiaran secara langsung pada setiap Ahad, di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) bermula jam 9 malam.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin