Hiburan

Gegarkan Istana Budaya, Bukti Ella & Ramli Sarip Berbisa!

gempak
Hanafis Haris
19/02/2020
09:38 MYT
Sponsor Banner
Gegarkan Istana Budaya, Bukti Ella & Ramli Sarip Berbisa!
Tidak puas dan mungkin tidak akan pernah puas, itulah perasaan penulis apabila selesai menonton Konsert Kembara Kita 2020 di Istana Budaya minggu lalu.
Konsert yang diadakan selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu menampilkan lagenda rock tanah air Datuk Ramli Sarip dan Ella.
Memulakan konsert sekitar jam 8.30 malam, persembahan pertama digalas oleh Ella yang menyampaikan tiga lagu sekali gus iaitu Prinsip, Bolero dan Tiada Tangis Lagi.
Persembahan itu kemudian disambung dengan lagu Pengemis Cinta dan Puteri Kota.
Dengan gaya nyanyian yang penuh bersahaja, ditambah pula dengan penampilan bertemakan 'rock glam', Ella memang layak digelar ratu rock!
Apa yang pasti, Ella masih lincah walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi. Sesekali aksi akrobatiknya membuatkan penulis terfikir adakah dia benar-benar berusia 53 tahun?
Selesai saja lagu Puteri Kota, mood 'ganas' penonton bagai telah dijinakkan dengan alunan akustik lagu Kasih dan Sepi Sekuntum Mawar Merah. Ternyata vokal Ella masih utuh!
Segmen Ella kemudian diakhiri dengan lagu-lagu hitnya menerusi medley Retak, Rama-Rama dan Nuri.
Ketika ini, penonton sudah naik 'syeikh' kerana lagu disampaikan pada penghujung segmen ini sangat dekat dengan perjalanan seni Ella.
Namun, secara jujurnya penonton masih belum puas.
Segmen seterusnya menampilkan papa rock, Ramli Sarip dengan persembahan penuh dramatik.
Tanpa selingan, enam lagu disampaikan sekali gus. Tergamam penonton dibuatnya.
Ketika ini kita boleh lihat bertapa hebatnya Ramli Sarip di atas pentas. Dia bukan sekadarnya menyampaikan lagu, tetapi lagenda ini seolah-olah bersatu dengan lagu!
Elemen ‘rock kapak’ di Istana Budaya kemudian diredakan dengan bacaan puisi oleh Ramli Sarip sebelum menyampaikan lagu Istilah Bercinta, Zakiah dan Jikalau Berkasih.
Dewan sekali lagi bergegar apabila pemain gitar Man Kidal muncul mengiringi lagu-lagu popular Ramli seperti Apa Khabar Sayang, Batu, Teratai, Kamelia, Budaya.
Segmen berkenan kemudian diakhiri dengan persembahan duet bersama Ella.
Lagu Cinta Mawar Putih, Datang dan Pergi serta Kembara Kita disampaikan secara duet dan ternyata gandingan dua ikonik rock ini sangat hebat.
Sangat hebat hingga membuatkan penulis terfikir siapakah yang menggantikan kembara seni mereka ini?
Penulis keluar dari Istana Budaya dengan perasaan yang tidak puas. Tidak puas melihat gandingan dua lagenda ini beraksi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live