BERITA
Gegendang Telinga Cedera, Sharifah Sofia Terpaksa 'Berehat' Sebulan Daripada....
Pelakon Sharifah Sofia memberitahu bahawa dia terpaksa berehat seketika daripada melakukan sebarang bentuk aktiviti sukan air buat sementara waktu berikutan masalah kecederaan pada bahagian telinga yang dialaminya.
Menurut Sofia, kecederaan yang dialami pada bahagian gegendang telinga kiri itu memerlukan sekurang-kurangnya tempoh sebulan sebelum dia boleh kembali meneruskan aktiviti menyelam seperti biasa.
"Ya, telinga saya mengalami kecederaan. Saya perlu pastikan telinga saya sentiasa kering untuk tempoh sebulan. Jadi, saya tidak boleh menyelam atau berenang selama sebulan.
"Kalau nak syampu pun kena agak-agak untuk pastikan telinga tak basah," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram TV miliknya.
Bagaimanapun, menurut Sofia, hasil pemeriksaan doktor, masalah yang dialaminya itu sudah mula menunjukkan perkembangan positif.
"Hari ini saya pergi berjumpa doktor, Alhamdulillah semuanya baik. Kamera dimasukkan kedua-dua belah telinga saya untuk melihat keadaan gegendang telinga yang baik dan yang koyak.
"Doktor tak nampak lubang pada bahagian telinga kiri saya sebab ada keruping yang menutupinya, namun, semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah," katanya.
Begitupun, katanya, dia perlu membuat pemeriksaan susulan selepas ini bagi mengenal pasti sekiranya terdapat gangguan pada masalah pendengarannya.
"Saya perlu tunggu sebulan sebelumn berjumpa doktor lagi untuk jalani pemeriksaan pendengaran.
"Apapun, terima kasih bagi yang mendoakan dan prihatin dengan diri saya selama ini," katanya.
Sebelum ini, Sofia menerusi satu entri di Instagram memaklumkan gegendang telinga kirinya koyak ketika sedang mengikuti sebuah program yang melibatkan aktiviti menyelam.
