Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport dalam rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat.

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi.

Jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis. Walau bagaimanapun, ianya jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Menerusi kenyataan rasmi di akaun Facebook KKM, hasil siasatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets) dengan nombor batch yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kodbar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.

KKM juga telah mengenakan tindakan penolakan (auto-rejection) di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.

KKM juga telah menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik (recall) produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan insitusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut.

Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenalpasti batch kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi tersebut.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.