Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Gelang Lipan RM8,000 Sumayyah Hilang, Menangis Saya" - Puteri Sarah

Amri Hassan
24/09/2023 04:47 MYT
Emas dan wanita tidak dapat dipisahkan. Selain menjadi barangan perhiasan yang cantik dipakai serta sesuai digayakan dengan apa jua fesyen, emas juga menjadi pelaburan terbaik untuk masa hadapan.

Bercerita tentang emas, pelakon jelita Puteri Sarah Liyana akui emas menjadi 'teman baiknya' sejak mula berkecimpung dalam dunia seni.

"Saya memang suka emas dan penggemar barangan kemas sejak mula melangkah ke alam pekerjaan.

"Ia satu pelaburan yang saya buat sejak zaman remaja lagi. Disebabkan itu juga, saya terapkan hal sama kepada anak perempuan saya, Sumayyah memandangkan harga emas juga semakin meningkat. Mungkin apabila dia sudah besar kelak, harga emas akan melambung mahalnya.

"Saya sebenarnya tertarik dengan rekaan moden dan kontemporari Trishya & Co, sangat menepati citarasa saya.

"Tak mustahil jenama Trishya & Co boleh pergi jauh dan viral sepertimana barangan kemas yang pernah saya pakai sebelum ini hingga diberi jolokan emas PSL," katanya.

Puteri Sarah yang ditemui pada pertunjukan fesyen dan pelancaran Trishya & Co Opulent di TDOX Clinic at EQ, Hotel Equatorial Kuala Lumpur baru-baru ini juga sempat memperagakan barangan kemas jenama terbabit.

Faktanya, barang kemas koleksi Lady Bug dan Lom daripada Trishya & Co yang diperagakan Puteri Sarah bersama Sumayyah ketika itu bernilai sekitar RM150,000!



Sudah pasti kata Puteri Sarah terdetik rasa debar ketika memperagakan barangan kemas mahal memandangkan sebelum ini pernah berdepan detik sedih apabila gelang lipan yang dipakaikan di lengan Sumayyah pernah hilang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu.

Menceritakan pengalaman itu, kata Puteri Sarah gelang lipan bernilai sekitar RM7,000 ke RM8,000 itu dibelinya daripada duit yang dikumpul sedikit demi sedikit.

"Gelang lipan yang Sumayyah pakai pernah hilang. Menangis saya... Ketika itu saya mengumpul duit dan bila sudah ada rezeki barulah dapat beli balik.

"Saya sendiri pun tak pasti macam mana boleh hilang, bila ditanya dia sendiri jawab tak tahu.

"Harga ketika itu sekitar RM7,000 ke RM8,000. Lepas tiga hari hilang barulah kita sedar.

"Saya anggap ia bukan rezeki sayalah. Cuma sekarang saya akan lebih berhati-hati apabila memakai barang kemas dan pakai pun bila perlu saja," ceritanya lanjut.

Barang kemas ke peringkat antarabangsa

Sementara itu, Pengasas Bersama Trishya & Co, Datin Dr Raskidah Ali, 56, berkata, pihaknya amat teruja dan sudah bersedia berkongsi keunikan rekaan barangan kemas jenama ini di peringkat antabarangsa.

“Kami di Trishya & Co amat berbesar hati menerima undangan ini yang diperkenalkan oleh sahabat saya juga merupakan peminat LOM. Kami berharap penyertaan ke pameran fesyen terbesar di London itu nanti dapat mengangkat jenama lokal setaraf produk antarabangsa.

“Melalui Trishya & Co, kami bukan sahaja menghasilkan rekaan barangan kemas untuk wanita dan aksesori lelaki yang berkualiti tinggi, malah mensasarkan janaan ekonomi negara dengan menampilkan rekaan bercirikan Malaysia yang boleh dijadikan kenang-kenangan buat pelancong yang berkunjung ke negara ini,” katanya.



Pengasas barang kemas umur 18 tahun!

Pengasas Trishya & Co, Nayli Batrishya Norbik Bashah, 18, pula menambah, dia terinspirasi dengan sebuah jenama terkenal yang popular dengan koleksi loket pesona atau charms, yang mana setiap cawangannya di seluruh dunia menampilkan rekaan sinonim dengan imej sesebuah negara.

“Setiap kali melancong, saya lebih tertarik membeli aksesori wanita seperti gelang, loket, cincin, rantai dan anting-anting, kebiasaannya akan singgah membeli charms di butik barangan kemas terkenal sebagai ole-ole untuk diri sendiri. Cuma kebanyakan koleksi charms dibutik berkenaan diperbuat daripada perak dan emas putih.

“Jadi saya terfikir, kenapa tidak Trishya & Co mengkomersilkan identiti Malaysia melalui rekaan emas 916 yang semua tahu emas adalah satu pelaburan yang baik. Disinilah bermulanya idea menghasilkan koleksi Links of Malaysia atau LOM.

“Untuk menarik minat golongan muda seusia saya pastinya reka bentuk yang unik, muda dan trendy menjadi asas. Pada masa yang sama, saya mahu educate remaja melakukan pelaburan emas, daripada membeli sesuatu yang tidak memberi keuntungan,” katanya.



Ujarnya lagi, pelan simpanan emas secara bijak ditawarkan serendah RM200 dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kemudian pembeli boleh menuntut koleksi emas yang ditempah di Trishya & Co.

Bagi yang berminat memiliki barangan kemas jenama ini, boleh mendapatkannya dari ejen yang sah atau berkunjung ke dua cawangannya di Johor Bahru dan Taman Sri Rampai Kuala Lumpur.
#Viral #Gaya Hidup #Fesyen #Puteri Sarah #Pelaburan #Sumayyah #Hilang #Emas #Muse #Gelang Lipan #Trishya & Co
;