Laman Utama
Gempak Menang Anugerah Perak Malaysia Digital Association Awards 2023
Portal hiburan berbahasa Melayu nombor satu, Gempak memenangi anugerah Perak dalam kategori Best Digital Publisher of the Year di Malaysia Digital Association Awards 2023.
Ketua Kandungan Gempak, Nazihah Dalhar teruja dan merakamkan ucapan penghargaan selepas menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan di ibu kota pada Jumaat.
"Alhamdulillah, terima kasih atas pengiktirafan yang diberikan kepada Gempak pada tahun ini. Kami sangat menghargainya dan gembira untuk meraikan bersama-sama dengan peminat serta pengikut setia Gempak.
"Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat untuk terus memberikan kandungan yang bermanfaat dan terbaik untuk semua," katanya.
Anugerah Perak merupakan anugerah terbaik dalam Best Digital Publisher menerusi Gempak’s Metamorphosis: From Disseminator to Trailblazer.
Turut memenangi kategori sama ialah RevAsia, manakala calon lain yang juga tersenarai untuk kategori terbabit ialah Sinar Karangkraf, iMedia dan Sin Chew Media.
D Awards dianjurkan oleh Malaysian Digital Association (MDA) bagi mengiktiraf dan menghormati bakat, agensi, jenama, penerbit dan penyedia perkhidmatan digital yang menerima dan mempelopori penggunaan teknologi digital.
MDA kini mencari inovasi dan kreativiti dalam rekaan, binaan, pengurusan, pemasaran atau promosi kempen, produk, perkhidmatan digital yang mencipta impak dalam kehidupan pengguna dan perniagaan.
Kategori penyertaan memberi laluan kepada semua bentuk kerja digital teknikal dan kreatif daripada mana-mana disiplin komunikasi untuk dimasukkan. Selain itu, melihat pada sifat dunia digital, hasil dan impak memainkan peranan penting dalam kejayaan penyertaan dan sekaligus mengukuhkan dunia digital sebagai saluran pemasaran yang sahih.
Penyertaan terbuka kepada semua digital natives, bermula daripada klien, agensi kreatif digital, agensi media, syarikat teknologi, penerbit, pemilik media dan mana-mana syarikat yang merupakan sebahagian daripada ekosistem pemasaran digital.
Mana-mana entiti yang berpangkalan di Malaysia dengan kerja digital yang sah yang selaras dengan kategori penyertaan digalakkan untuk mengambil bahagian.
d Awards kini diiktiraf oleh RECMA (Research Company Evaluating the Media Agency Industry). d Awards juga telah disenaraikan dalam laporan Malaysia, oleh itu mana-mana d Awards yang dimenangi akan menyumbang kepada kedudukan agensi oleh RECMA mulai 2020.