Bersempena dengan segmen terbaru Gempak Spot, minggu ini Gempak membawakan cerpen nukilan daripada Lokman Hakim khas buat tatapan pembaca.

Menerusi segmen ini, pembaca akan disajikan dengan karya-karya penulis yang menarik.

Untuk minggu ini, kami paparkan cerpen berjudul Pari-Pari Elektrik

Selamat Membaca!

Keseorangan, dia sentiasa menghabiskan masanya di kedai kopi, kafe-kafe hipster dan restoran di sekitar Lembah Klang. Jika dilihat seimbas, tiada beza langsung dirinya itu dengan pengunjung kedai makan yang lain: Membelek gajet elektronik di tangan masing-masing tanpa memerhatikan sekitar. Seolah-olah nyawa mereka terpaut pada paparan pada gajet elektronik itu.

Cuma bezanya adalah acapkali berlaku kejadian gajet-gajet elektronik milik pengunjung kedai makan rosak. Berasap. Ada yang meletup. Tidak kurang juga yang terkena renjatan elektrik. Setiap kali kejadian sebegitu berlaku, dia akan segera bergegas membayar makan minumnya di kaunter dan berlalu pergi.

Tiada siapa mengesyaki setakat ini. Dia bijak mengaburi langkahnya. Ada sesuatu pada gajet miliknya itu, yang membolehkannya mensabotaj gajet elektronik milik orang lain.

Jika diteliti pada bebola matanya, warnanya sedikit janggal. Dia mengenakan sejenis kanta lekap khas yang membolehkannya melihat sesuatu yang dimunculkan daripada gajet khas miliknya itu.

Pari-pari elektrik. Sejenis makhluk berupa manusia bersayap tetapi halus akan bergerak menerawang ruang di dalam kafe dan singgah di mana-mana gajet elektronik yang hendak dirosakkan. Kenapa pula pemuda itu mahu melakukan jenayah sebegitu?

*

Lambat benar hidangan mahu sampai kali ini. Restoran itu sesak dengan pengunjung yang rata-ratanya keluarga. Pasangan suami isteri dan anak-anak mereka mencetuskan keriuhan yang menghiburkan.
Namun jika diteliti, anak-anak kecil sahaja yang polos, membuat bising itu. Ibu-bapa mereka pula memilih untuk menatap gajet elektronik masing-masing.

Hal ini menjengkelkan bagi pemuda itu. Sementara menunggu makanannya sampai, dia menerbangkan pari-pari elektriknya ke arah sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang ahli. Pasangan suami dan isteri, bersama dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kelima-lima mereka sedang asyik menatap telefon bimbit masing-masing tanpa ada perbualan antara mereka.

Kedengaran suara dalam kepalanya cuba menimbang tara perbuatannya itu. Moral apa yang dipegangnya kali ini? Siapa dia untuk menentukan perbuatan seseorang itu salah atau betul? Siapa pula dia untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya mengikut hatinya?

‘Ah, persetankan semua itu!’

Dia girang melakukan perbuatan itu. Pari-pari elektrik, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, mula hinggap di telefon bimbit si ibu. Si ibu sedang membaca kaedah penjagaan anak dengan betul. Ironi pula dirasakannya hal itu. Pari-pari elektrik melonjak pula ke arah telefon bimbit si ayah. Lelaki pertengahan umur itu sedang menonton video memancing. Melihat ikan tilapia sebegitu besar membuatkan senyuman melirik di bibirnya. Pari-pari elektrik segera memuatnaik data daripada setiap telefon bimbit yang disinggahinya. Corak tatapan pengguna telefon bimbit dianalisa.

Pemuda itu menggunakan maklumat tersebut untuk menentukan keputusan seterusnya. Tetapi sebelum itu, dia mahu menyemak juga bagaimana anak-anak pasangan tersebut menggunakan telefon bimbit mereka.

Dari tumblr, ke instagram, bergerak pula ke snapchat. Setiap akaun ada agenda, tidak kurang juga merepeknya. Pada hemat pemuda itu, anak-anak itu tidak sewajarnya mempunyai akaun sebegitu. Ah, dapat dikesan juga tanda-tanda antun seksual kanak-kanak. Pemuda itu mengeluh melihatnya, sedikit terkilan. Tanpa berlengah-lengah lagi, pari-pari elektrik diaktifkan mod pemusnahannya.

Pari-pari elektrik, meresap ke dalam permukaan setiap gajet tersebut, lalu mengolah setiap akses dan kata laluan peribadi setiap akaun media sosial yang dimiliki setiap ahli keluarga tersebut. Maklumat penjenayahan dikalih lalu disimpan dalam fail yang akan dihantar ke sistem kawalan data pihak polis. Ia melonjak-lonjak dari setiap gajet elektronik sehingga kelima-lima alat itu kepanasan.

Masing-masing melepaskan genggaman ke atas telefon bimbit masing-masing. Berguguranlah tiap satunya ke lantai dan terbakar. Asap berkepul-kepul dan situasi panik berlaku. Anak-anak menggeletar tangannya. Ibu dan bapa berusaha memadamkan api tersebut dengan menyimbah air minuman mereka ke atas gajet-gajet tersebut. Pekerja restoran segera mencapai alat pemadam api dan menyemburkan isinya ke atas gajet-gajet tersebut.

Sementara itu, pari-pari elektrik telah berubah sifat menjadi cahaya yang bergerak pantas ke arah tuannya kembali. Pemuda itu segera menutup gajetnya dan berpura-pura menikmati minuman coklatnya.

‘Padan muka,’

*

Sudah berapa ratus gajet dihapuskan, tidaklah dia mengetahuinya. Dia melihat perjuangan ini selaku satu hukuman yang tiada pengakhirnya. Perasaan bersalah yang menghantuinya selama ini tidak luak-luak. Hadir selaku mimpi ngeri, meracuni tahap kesihatan mental yang kian merosot.

Sifat kemanusiaan semakin pudar. Semakin moden dunianya, semakin merudum sifat kemanusiaannya. Dalam keadaan dunia sebegitu jelek, dia cuba mengingatkan dirinya untuk menjadi manusia yang terbaik. Sekurang-kurangnya dia sudah berusaha untuk menuju ke arah itu.

Ketika perjalanan balik ke rumah dia mendapati seekor kucing sedang merangkak perlahan tanpa menggunakan kedua-dua belah kaki belakangnya yang lumpuh. Melihat keadaan itu, dia memutuskan untuk membawa pulang kucing tersebut.

Dalam perjalanan itu, dia memerhatikan sekelilingnya dan berharap orang ramai lebih realistik dengan kehidupan mereka masing-masing. Pondok bas ditujui. Pemuda itu mengusap kepala kucing itu sambil melontarkan pandangannya ke arah jalan raya yang sesak. Orang lain sibuk dengan gajet masing-masing tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri. Mereka terlalu hanyut dalam dunia maya itu.

“Hei, aku panggil kau Lucy, okay?”

Kucing itu mengiau lembut. Pemuda itu memeriksa kaki belakang kucing itu yang lumpuh. Ada sedikit kurap di belakang kaki kucing itu. Cadangannya adalah dia mahu membawa kucing itu ke klinik haiwan sebelum dibawa balik ke rumah. Cuma sekarang dia masih mempertimbangkan bolehkah kucing itu dibawa naik ke atas bas? Akhrinya dia memutuskan untuk menempah Grab car.

Kejelekannya pada sikap manusia yang mudah hanyut pada dunia maya itu mendatangkan keinginan untuk menggunakan kembali pari-pari elektrik. Biarpun begitu, dia kini sibuk dengan kucing itu yang nyata sekali lebih memerlukan perhatiannya.

Ada seorang budak mendekati, tertarik dengan kucing itu.

“Nama siapa?” tanya budak itu pada kucing.

“Lucy,” kata pemuda itu, lalu tersenyum.

“Hai, Lucy,” ujar budak itu lalu mengusap kepala kucing itu.

Sedikit-sebanyak, rasa jelek pemuda itu pada manusia yang tidak henti-henti bermain telefon bimbit masing-masing di stesen bas itu merudum juga dengan kehadiran budak itu.

Sebuah bas menyinggah dan masing-masing segera menaiki bas itu meninggalkan pemuda itu dan kucingnya bersendirian. Pemuda itu tidak mengerti mengapa kereta pemandu Grab car yang ditempahnya tidak bergerak. Statik sahaja di depan sebuah hotel.

Pemuda itu teringat akan sesuatu.

Ya, budak tadi, langsung tidak memegang gajet elektronik di tangannya. Adakah budak itu daripada dunia lain?

*

“Oh, nak rawat kucing ya?”

“Ya. Jumpa tadi.”

“Baguslah kamu nak rawat kucing terbiar. Sekarang tak ramai orang nak jaga kucing, lebih-lebih lagi kalau kucing cacat. Kalau kucing baka mahal, cantik, itu semua nak jaga. Bukan nak sayang betul-betul pun, sekadar nak tunjuk diri tu kaya dan mampu je.”

Pemuda itu hairan pula, mengapa pemandu Grab car yang ditumpangnya ini agak emosional. Sesekali matanya mengerling pada perisian Waze yang digunakan oleh pemuda itu. Kesesakan jalan raya membuatkannya memilih untuk menggunakan lebuhraya bertol. Pemuda itu mengeluarkan kad Touch n Gonya, bersedia untuk digunapakai pemandu itu nanti.

“Baru-baru ini kedengaran juga berita yang mengatakan kucing dikacukkan bakanya agar boleh dijual dengan harga tinggi. Tak dibela untuk disayang-sayang. Betullah semua boleh jana duit. Kasih sayang pada haiwan pun boleh jana duit juga.”

Pemuda itu tersenyum sahaja mendengar celoteh pemandu Grab car itu. Dia tidak mahu komen lebih-lebih. Dia teringat akan pari-pari elektriknya. Kenapa dia boleh membina pari-pari elektrik tersebut? Semuanya disebabkan kasih sayang yang sudah tiada. Kasih sayang yang diletakkan nilai wang.

Melihat penumpangnya berdiam diri sahaja, pemandu itu turut membisu lalu hanyut dalam pemikirannya. Lucy mengiau-ngiau seolah-olah menyaksikan sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Pemuda itu mengerling keluar tingkap kereta untuk mencari sebarang kejanggalan. Dia segera mengenakan lensa mata khasnya itu.

Lensa mata khasnya mula mengesan suatu keanehan. Ribuan pari-pari elektrik sedang beredaran di sekitar mereka. Hal itu membingungkannya. Selama ini dia percaya pengetahuan membinakan teknologi pari-pari elektrik tersebut diketahui dirinya seorang sahaja.

Tanpa membuang masa, dia mengeluarkan gajetnya tersebut. Daripada gajet yang tidak lebih dari sekadar telefon bimbit yang telah diubahsuai, dia cuba memunculkan pari-pari elektriknya. Tidak berhasil.

Keliru, dia cuba memeriksa perisian pari-pari elektrik di dalam gajetnya itu. Dia mendapati pari-pari elektrik telah mereplikasikan dirinya pada kadar seribu salinan per minit. Lucy mengiau-ngiau tanpa henti. Kucing itu terpesona melihat ribuan pari-pari elektrik yang berlegaran di setiap ruang.

Perlahan-lahan setiap peralatan elektronik dimusnahkan. Telefon bimbit pemandu Grab car itu juga melebur, membuatkannya kalut seketika sebelum mencampakkannya keluar tingkap dalam keadaan panik. Kemalangan berangkaian mula berlaku di lebuhraya tersebut. Majoritinya disebabkan kebakaran mengejut pada gajet masing-masing. Dalam masa beberapa minit sahaja, kesesakan jalan raya menjadi parah. Tiada kenderaan bergerak lalu diparkir begitu sahaja.

Bertemankan Lucy dalam kendongannya, pemuda itu segera keluar dari kereta setelah membayar sejumlah wang tambang. Dengan lensa khas masih menyalut bebola matanya itu, dia dapat melihat bagaimana pari-pari elektrik mengerjakan plaza tol yang terletak hanya satu kilometer sahaja dari tempat kereta yang ditumpanginya tadi tersadai. Mereka itu laksana lalat menghurung bangkai. Rakus benar.

“Lucy, mungkin hari ini, kau kena cari tuan baru balik. Aku takkan balik lagi. Aku patut selesaikan masalah ini sendiri.”

Lucy mengiau seolah-olah mengerti dengan apa yang diperkatakan tuan barunya itu. Pemuda itu meletakkan Lucy di tepi lebuhraya, biarpun begitu, dia sebenarnya percaya dia boleh selesaikan masalah itu dan kembali pada Lucy. Hanya ada sedetik rasa dalam hati yang memberitahu, tanpa nyata, bahawa pari-pari elektrik tidak akan kembali padanya. Pari-pari elektrik akan melawan tanpa henti selagi mereka mampu. Penentangan sebegitu juga barangkali memudaratkan. Dia tidak pasti. Segala-galanya samar-samar pada waktu ini.

Kelihatan beberapa orang pengguna jalan raya telah keluar daripada kenderaan masing-masing juga. Ada yang cuba mengalihkan besi penghadang yang melintang di setiap laluan pondok tol. Jika tidak boleh dilakukan secara automatik, maka tindakan secara paksaan harus dilakukan. Tidak seperti sebelum ini, setiap fungsi alatan elektronik dan juga bekalan elektrik telah dipadamkan. Pari-pari elektrik sangat buas meratah listrik.

Melalui lensa khas yang dimiliki pemuda itu, dia dapat melihat bagaimana pari-pari elektrik mengerumuni plaza tol itu lalu membentuk gergasi. Formasi pembentukkan gergasi itu menarik perhatiannya. Terpaku dia melihatnya, dengan perasaan kagum.

Ada mesej yang cuba disampaikan pari-pari elektrik tersebut. Malangnya tiada siapa mampu mengamati mesej tersebut melainkan pemuda itu sahaja.

Gergasi itu, bermula dengan pembentukan manusia di dalam rahim. Janin mengerekot lalu dilahirkan menjadi bayi. Daripada bentuk bayi, ia mula membentuk seorang kanak-kanak. Daripada bentuk kanak-kanak, ia mula meningkat dewasa menjadi seorang remaja dan akhirnya menjadi dewasa. Perubahan demi perubahan ini ditafsirkan selaku suatu petanda, di mana pari-pari elektrik telah memahami bagaimana manusia berfungsi.

Sehingga satu peringkat, sesudah mengalami proses penuaan, apa yang disajikan adalah suatu perkara yang menggerunkan. Gergasi itu membentuk sayap, yang dikibarkan lalu berapungan di udara. Segala-gala metamorfosis ini berlaku di atas bumbung plaza tol tersebut. Daripada sayap itu, gergasi itu membentuk pula dua bilah tanduk yang tajam pada dahinya. Daripada manusia menjadi syaitan, ah, itulah tafsirannya pula.

Pemuda itu mendapati pada pengakhiran metamorfosis itu, pari-pari elektrik merungkaikan penutupnya dengan gergasi bersayap dan bertanduk itu merobek keluar organ-organnya sendiri. Berhamburanlah pari-pari elektrik dalam bentuk jantung, usus, limpa, paru-paru, perut dan sebagainya ke udara.

Anehnya, sebaik sahaja lambakan pari-pari elektrik yang membentuk organ itu tercampak ke lantai aspal, mereka berkecaian lalu lenyap begitu sahaja.

Mengerti kejelekan riwayat takdir manusia yang diramalkan pari-pari elektrik tersebut, pemuda itu memutuskan untuk menanggalkan lensa yang dipakainya. Dipijaknya hingga lumat. Seraya itulah imej pari-pari elektrik langsung lenyap daripada pandangan mata.

Perlahan-lahan bekalan elektrik pulih semula. Masing-masing bergegas kembali ke kenderaan masing-masing. Panggilan telefon dibuat saling bertingkahan. Mana-mana yang sudah rosak gajetnya, meneruskan perjalanan. Pemuda itu, yang masih diselubungi rasa janggal yang begitu memusnahkan merasakan hidup itu sungguh menyesakkan.

Pari-pari elektrik sudah membentangkan huraiannya mengenai takdir manusia.

Tiba-tiba pemuda itu merasai kakinya digesel sesuatu yang berbulu. Lucy, yang tidak lagi lumpuh kaki belakangnya sedang merenungnya. Kehairanan, pemuda itu memungut Lucy lalu diusapnya kepala kucing itu.

“Bagaimana kau ... ” tidaklah ayatnya habis di situ. Kurap pada kaki belakang kucing itu juga sudah pulih. Adakah ini kucing yang sama? Ya, itulah Lucy.Tidaklah pemuda itu mengerti bagaimana kucing itu boleh pulih semula kakinya.

Dia bergerak ke plaza tol tersebut lalu duduk di luar bangunan milik pengurusan lebuhraya tersebut. Sambil-sambil itu dia membelek telefon bimbitnya dan mendapati, pari-pari elektrik telah merakamkan dan menyebarkan metamorfosis manusia menjadi syaitan tersebut. Detik-detik pemusnahan kendiri pula menjadi topik yang hangat dibahaskan warga netizen.

Pemuda itu memutuskan dia tidak mahu mengambil tahu apa yang terjadi pada pari-pari elektrik dan juga perbincangan di alam maya mengenainya. Ada Lucy dan dirinya, sudah memadai. Mungkin manusia patut mengerti, pari-pari elektrik sudah dapat mengenalpasti pola kewujudan mereka.

Jalan apa yang ada buat mereka untuk mengelak kemusnahan sebegitu rupa?

Tidaklah pemuda itu mengetahuinya. Lucy mengiau manja. Diusap lagi kepalanya dan ia sukakannya.

“Biarlah manusia nak jadi apapun, kan?”

Lucy mengiau sekali lagi tanda bersetuju. Pemuda itu tersenyum.

*Lokman Hakim adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Segala pandangan dan pendapat adalah hasil karya penulis sepenuhnya dan tidak ada kena mengena dengan Gempak.