Gempak Star Of The Week: Faizdickie Instafamous Yang Pemalu

Amri Hassan
Ogos 3, 2017 09:28 MYT
Setiap minggu Astro Gempak akan menampilkan ikon media sosial yang akan berkongsi kisah menarik dan pengalaman mereka dalam segmen Gempak Star Of The Week.
Tidak kira latar belakang dan bidang mereka, kuasa media sosial membawa perubahan dalam landskap hidup golongan belia ini.
Sempena minggu ini, Instafamous Nasrul Faiz Abu Azal atau Faizdickie, 29, berkongsi pengalaman sepanjang bergelar figura media sosial.
Berikut kami senaraikan 5 perkara menarik tentang Faizdickie.
1) Village People
Sejak 2013, nama Faizdickie mencuri tumpuan di media sosial Instagram dengan kemunculan Komik Sengal dan seleksi video-video mencuit hati.
Karakter seperti Kak Leha Bunting, Na'abella, Sarabanon, Nurse Puaka dan Qais Wildan mendorong pembentukan komuniti Village People.
Sehingga kini Faiz telah mengumpulkan lebih 630,000 pengikut di Instagram selepas akaun lamanya digodam beberapa tahun lalu.
2) Happening tapi pemalu
Karakter bersahaja Faiz di Instagram mendorong popularitinya hingga dinobatkan sebagai Personaliti Popular tahun 2015.
Namun, hakikatnya Faiz seorang individu yang pemalu dan sifat itu bertentangan daripada karakter dalam Instagramnya.
"Dalam Instagram nampak gila-gila, happening dan suka buat lawak tetapi sebenarnya dalam kehidupan sebenar saya pemalu, kurang yakin diri dan penyegan.
"Oleh itu, karakter yang muncul di Instagram menjadi diri saya kedua dan tiada sesiapa boleh menilai kita," katanya.
3) Pakaian perempuan, lawak lucah
Faiz tidak terlepas daripada kecaman netizen ketika tahun-tahun awal bergelar Instafamous.
"Apabila kita buat perkara baharu, orang susah terima jadi mereka mengutuk.
"Alasannya kerana saya pakai baju perempuan dan membuat lawak lucak. Tetapi apabila mereka tahu saya buat semuanya untuk hiburan, kecaman itu semakin berkurang," ujarnya.
Kecaman bagaimanapun masih berlaku apabila video atau gambar-gambarnya dimuatnaik di platform lain.
4) Semakin ramai Instafamous
Ramai golongan belia menjadikan platform media sosial sebagai ruang untuk menjana pendapatan sampingan.
"Nasihat saya jangan jadikan media sosial untuk mengaut untung, sebaliknya jadikan kerjaya ini sebab minat. Duit akan datang sendiri," tambah Faiz.
5) Pensyarah, cermin mata hitam & sukan skuba
Faiz merancang untuk menjadi seorang pensyarah dan akan melancarkan koleksi cermin mata hitam pada hujung minggu ini.
"Tiba masanya untuk menyumbang semula kepada komuniti, jadi saya mahu menjadi pensyarah," katanya.
Faiz juga aktif dalam sukan selaman skuba dan merancang untuk memperbanyakkan program kemasyarakatan selepas ini.
Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: IG @faizdickie, Pepatung
#Viral #Viral #Faizdickie #Gempak Star Of The Week