Laman Utama
#GempakKeliwon: 5 Lokasi Paling Seram Di Malaysia, Nak Pergi Mulut Jangan Celupar!
Tempat terbengkalai dan terbiar lama sering dikaitkan dengan kewujudan entiti mistik. Ada yang mempercayai namun ada juga yang menolak sekeras-kerasnya.
Tahukah anda banyak tempat seram di Malaysia yang digeruni sejak dulu sampai sekarang.
Berkemungkinan juga anda sendiri pernah menjejakkan kaki ke tempat tersebut.
Advertisement
Jadi, #GempakKeliwon akan bongkar lima tempat yang penuh dengan misteri di Malaysia.
#1 Highland Towers, Selangor
Foto: Wikipedia
Tragedi Highland Towers merupakan tragedi runtuhan yang sangat menggemparkan satu ketika dulu. Tragedi nahas yang meragut 48 nyawa ni bermula apabila satu daripada tiga blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, runtuh pada 11 Disember 1993.
Tragedi tersebut adalah satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Selepas kejadian itu pelbagai perkara seram telah berlaku di tapak lokasi kejadian tersebut antaranya ada yang mendakwa melihat kelibat makhluk tanpa kepala dan sering juga kedengaran suara wanita menangis di tengah kepekatan malam.
#2 Kellie’s Castle, Perak
Foto: Wikipedia
Istana Kellie atau Kellie's Castle ialah sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulai ke Batu Gajah, Negeri Perak.Bangunan yang berumur lebih 100 tahun ini dulunya milik seorang peladang getah terkemuka Scotland bernama William Kellie Smith.
Bangunan ini cukup gah kerana dilengkapi lif yang pertama dibina Tanah Melayu di samping mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia.
Tapi sewaktu pembinaannya, ramai buruhnya mati. Kemuncak tragedi bangunan ini adalah pemiliknya sendiri mati sebelum ia berjaya disiapkan.
Bila tiba waktu senja, dikatakan masih kelihatan kelibat anak perempuannya, Helen berlegar-legar dengan gaun malam putihnya di kawasan koridor Kellie's Castle. Kadang-kadang orang terdengar suaranya menangis.
Untuk yang nak bergambar kat sini, hati-hati. Sebab kadang-kadang ada juga kes entiti masuk frame.
#3 Lebuhraya Karak, Pahang
Foto: Google
Sebut sahaja Lebuhraya Karak mesti akan dikaitkan dengan kisah seram yang melibatkan Volkswagen kuning.
Ramai pengguna lebuhraya itu mendakwa pemandu akan dikacau selepas melalui terowong karak.Volkswagen kuning ini dikatakan akan memotong kereta anda. Selepas itu, dia akan bawa perlahan dan akan kelihatan kereta itu dipandu tanpa pemandu di dalamnya.
Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah seorang isteri curang yang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya.
#4 Mimaland, Selangor
Foto: Facebook MIMALAND
Ingat lagi tak? Mimaland merupakan taman tema Jurassic Park pertama di Malaysia. Mimaland dahulunya dikenali sebagai tempat hiburan keluarga dan menjadi tumpuan bagi beberapa penggambaran filem tempatan.
Setelah bertahun-tahun Mimaland beroperasi, seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993.
Selepas itu, satu kejadian kecil tanah runtuh telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada dinding kolam renang yang sama pada Mei 1994.
Beberapa pihak termasuk agensi kerajaan kemudiannya telah menyeret pihak pengurusan Mimaland ke mahkamah dan seterusnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994.
Sekarang, tempat yang berkeluasan hampir 300 ekar ini dibiarkan sepi terbengkalai.
#5 Villa Nabila, Johor
Foto: Google
Rasanya semua orang tahu tentang Villa Nabila yang terkenal dengan kisah seram. Villa Nabila adalah sebuah banglo tinggal yang masih ada pemiliknya.Banyak versi cerita mistik yang didengari mengenai Villa Nabila ini sehingga diterbitkan dalam bentuk filem. Antaranya mereka dirompak dan semua penghuni rumah tersebut dibunuh penjenayah.
Nabila dikatakan dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh dan mayatnya disimen dalam dinding rumah.
Ada juga yang menceritakan bahawa bapa Nabila mengamuk dan menembak semua penghuni sebelum membunuh dirinya sendiri. Fuh seram!!
Peringatan! Sekiranya anda berhajat untuk ke tempat-tempat itu, mohon jaga percakapan dan kelakuan sebab tak tahu apa yang bakal menanti.
Must-Watch Video