17 September 2017; Jam baru menunjukkan pukul 9 malam. Masih terlalu awal untuk balik rumah, perut pun baru terisi lepas seharian penat bekerja.

"Am... Am... tunggu!!"

Aku nampak Syikin meluru ke arah aku, mengelek beberapa beg plastik.

"Kenapa?"

"Tolong kejap, banyak benda nak kena bawa."

Aku bantu Syikin, bawakan barang ke arah keretanya yang diletakkan kurang 300 meter dari tempat kami berdiri.

Bertentangannya ada sebatang pokok besar, merimbun daunnya. Dalam samar-samar, ada cahaya dari lampu jalan yang menyorot ke arah itu.

Betul-betul di bawah pokok besar itu tersadai sebuah kereta Daihatsu Charade berwarna kuning. Barangkali buatan tahun 1993. Seakan-akan kesan terbakar, cermin pun sudah pecah dan ada pokok menjalar manja di atas bumbungnya.

Bersebelahannya pula terkujur sebuah pacuan empat roda merah. Pegun. Enjin dinyahhidup, cermin hadapannya nampak berwap.

"Stop!!! Kau nampak tak?"

Syikin hentikan langkah. Mukanya pucat, sesekali cuba membeliakkan matanya sambil pandangan tertancap ke arah pohon besar itu.

"Ada perempuan dalam kereta! Kau nampak tak??"

Suara Syikin terketar-ketar, nada lebih tinggi dari yang tadi.

"Tak, itu kepala seat kereta jer lah. Ko jangan memandai."

Kata aku cuba pujuk diri. Jantung mula kencang, mata aku pun cuba fokus ke arah objek yang Syikin maksudkan. Aku teruskan langkah... Makin dekat.

"Ya, memang betul. Ada perempuan dalam pacuan empat roda merah. Sedang membongkok tempat pemandu, kenderaannya berhenjut-henjut," hati mula resah, segala surah terlintas di kepala aku baca.

Langkah kami terhenti! Aku pandang Syikin, Syikin pandang aku.

Jarak dengan pacuan empat roda tadi makin selang beberapa meter. Perempuan dalam pacuan empat roda tadi cuba berdiri. Kepalanya masih membongkok, rambut menutup sebahagian wajah yang nampak pucat lesi.

Aku beranikan diri, dalam fikiran mesti ada yang cuba buat perkara terkutuk kat tempat awam! Awas!

Syikin menghalang. Tangannya mengagau mencari telefon, sambil tangan yang sebelah lagi menjinjit barang yang dibeli dari kedai tadi.

Langkah semakin hampir.

"Aku takut..."

Syikin memperlahankan langkah. Sesekali cuba bersembunyi di belakang aku.

Lagi beberapa meter dari cermin pemandu, wanita tadi masih menundukkan kepala. Kaku kali ini.

"Prappppp," aku terpijak botol plastik kemek berhampiran pacuan empat roda itu. Wanita itu mengangkat muka. Matanya terbeliak, wajahnya benar-benar pucat.

Dia terperanjat. Nafasnya tercungap-cungap. Dia terkejut, aku terkejut, Syikin pun terkejut!

Oh! Rupa-rupanya dia sedang 'melepas hajat kecil' dalam kereta.

"Baru aku sedar, toilet awam dah tutup!"

"Memang tak tahan sangatlah tu."

Aku dan Syikin membisu. Tiada sepatah perkataan keluar selepas itu. Aku hantarkan barang ke kereta Syikin yang tak jauh dari pacuan empat roda itu.

Syikin memecut laju. Hilang dalam pekat malam.

Foto: Carian Google