Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#GempakKeliwon: “Langsuir? Bak Datang Ah!” – Cakap Besar, Nampak Kelibat Lembaga Putih, Terus Pengsan!

Mya Amri
29/04/2021 14:45 MYT
Tibanya bulan ramadan ni membuatkan aku teringat peristiwa bersama dengan seorang rakan yang sangat suka cakap besar.

Kata orang tua-tua, bila lalu tempat gelap atau kawasan berhutan hati-hati, jaga mulut jaga tingkah laku, namun sahabat aku, Acap tidak pernah mempedulikan pesanan itu.

Acap memang agak nakal, setiap kali bercerita mengenai kisah seram pasti ayat seperti “ah aku tak takut!”, “pengecutnya korang ni macam tu pun seram ke?”, “alah setakat mata merah, rambut panjang, kuku tajam apa adahal. Biasa je tu,”.

Kadang-kadang kami yang mendengarnya pun sendiri rasa cuak dek kerana kelancangan mulut Acap.

Namun satu hari, aku rasa Acap sudah terlalu melampaui batas! Dalam perjalanan ke tempat mengaji, kami mengambil keputusan untuk melalui jalan pintas kerana sudah terlambat.

Di pertengahan jalan, kami terpaksa melalui kawasan yang agak seram dengan dikelilingi pokok-pokok yang agak tinggi. Tanpa disangka Acap dengan mulut celuparnya berkata…

“Korang kalau jumpa hantu pun best juga ni kan? Teringin juga nak tengok seram ke tidak,” ujarnya.

Kami bertiga hanya menggelengkan kepala. Azman kemudiannya menegur Acap namun dia hanya ketawa.

“Tempat hantu? Mana? Tak ada pun? Jalan sunyi dengan pokok tinggi macam ni pun muka macam dah tahan kentut. Takut hantu ke? Langsuir? Bak datang ah aku tak takut lah!” katanya penuh bongkak.

Sebaik sahaja habis ungkapan itu, tiba-tiba angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan keluar bau yang kurang menyenangkan.

Aku yang memang sedia penakut ini meremang bulu roma. Acap masih tidak menyedari perkara itu… Tiba-tiba ternampak sosok lembaga berada tidak jauh dari kami dengan kepalanya yang menunduk.

Perasaan ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku terus kaku seolah-olah kaki dipakukan ke tanah. Sahabat lain juga muka sudah pucat lesi.

Lembaga itu perlahan-lahan mendekati kami, aku buntu tidak tahu untuk memberikan isyarat kepada Acap supaya lari kerana mulutku juga seperti terkunci.

Seakan-akan menyedari perubahan kami, Acap kemudiannya memusingkan kepalanya dan melihat kelibat lembaga itu.

Tanpa sedar Acap kemudiannya menjerit ketakutan seperti diserang histeria dan tiba-tiba jatuh ke tanah. Acap pengsan!

Terkejut dengan kejadian itu, kami bertiga tawakal dan bergegas berlari ke arah Acap. Aku pandang Azman, Azman pandang aku.

Tiba-tiba kami terasa seperti lembaga tersebut sudah berada di belakang kami, dengan keberanian senipis kulit bawang, aku menoleh perlahan-lahan….

Alangkah leganya hati, rupanya lembaga putih yang dimaksudkan itu adalah salah seorang orang kampung kami iaitu makcik Milah yang baru pulang daripada masjid dan masih memakai telekung.

Selepas daripada kejadian itu, Acap demam selama tiga hari dan jarang berjumpa dengan kami. Mungkin kerana perasan malu masih menebal dalam dirinya.

Jadi aku nak pesan, lain kali jangan cakap besar! Adalah sebabnya bila orang tua bagi nasihat, jangan bongkak atau ikut kepada sendiri ya…
#Cerita seram #Gempak Keliwon
;