Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#GempakKeliwon: “Nak Menjerit Tak Keluar Suara!”- Kena Tindih Di Asrama, Lembaga Hitam Merayap Atas Badan

Syafiqah Jalal
01/04/2021 14:22 MYT
Aku jarang buka cerita ni pada orang sebab bila ingat balik rasa tak percaya perkara ni berlaku dekat aku. Seram wei!

Cerita ni dah lama berbelas tahun dulu masa aku belajar di UiTM Shah Alam dan tinggal di Asrama Melati. Masa tu, semester pertama dan aku duduk dalam satu bilik 4 orang maknanya 4 katil single.

Aku ni sejenis tak suka sangat fikir mengenai cerita-cerita hantu ni bila orang cerita aku anggap itu khayalan mereka sahaja.

Aku pun tidak pernah nampak hantu atau ada pengalaman yang menyeramkan sebelum itu sehinggalah pada satu malam di dalam bilik asrama ini.

Pada malam tu, aku tidur seorang diri dan semua roommate balik kampung. Sebelum tidur aku tidak ada pun fikir yang bukan-bukan atau takut tidur seorang kerana aku sejenis seorang yang independent dan lebih suka menyendiri.

Selepas sahaja tidur, aku tiba-tiba terjaga dan terdengar seperti ada seseorang membuka pintu bilik. Masa tu katil aku di sebelah tingkap dan pintu itu berada jauh dari katil aku.

Bilik memang gelap sebab aku suka tidur dalam keadaan lampu tidur dimatikan. Ok sambung cerita...bila ada dengar orang buka pintu bilik tu aku pun terkejut lah siapa pula yang balik malam-malam buta ni?

Aku cuba untuk bangun, tiba-tiba aku jadi kaku dan berat tak boleh bergerak, biar betul? Banyak kali aku cuba bangun tapi tak berjaya juga...aku dah cuak bila pintu itu dibuka dan aku nampak seperti satu lembaga hitam menyerupai seorang manusia di balik pintu itu.

Aku rasa nak lari je masa tu tapi sumpah aku tak boleh bangun dan bergerak! Aku stuck atas katil! Masa tu pula aku tak pakai selimut, ya lah sebab cuaca ketika itu panas walaupun dah malam.

Aku pun cuba nak menjerit minta tolong tapi tak keluar suara! Aku pelik apa yang berlaku pada aku masa tu? Ketika sedang mencuba meminta tolong walaupun suara aku masa itu tidak dapat dikeluarkan dan tersekat-sekat…lembaga hitam tu pula semakin menghampiri!

Cuak wey! Aku tak tahu nak buat apa bila lembaga itu terus pergi ke kaki aku dan cuba merayap ke atas badan aku. Rasa nak menangis masa tu, sekarang pun bila cerita balik rasa meremang dah!

Aku pun cuba untuk baca semua surah termasuk ayat Kursi, Al-fatihah tapi sesungguhnya bacaan aku ketika terbalik-balik kerana terlalu takut dan hanya boleh baca dalam hati sebab suara aku tak keluar!

Aku tak putus asa sebaliknya terus membaca ayat Kursi berulang kali kerana kepala lembaga itu seolah-olah sudah semakin hampir ke dada aku. Perasaaan aku sangat takut ketika itu.

Tidak lama selepas itu aku pun terjaga dan lembaga itu pun hilang serta merta. Aku terus bangun dan mengucap. Ia buat aku terus terfikir adakah aku baru sahaja kena ‘tindih’ seperti cerita-cerita yang aku pernah dengar sebelum ini?

Namun sehingga kini aku tak pasti adakah ia mimpi atau hanya khayalan tidur kerana aku tak dapat bezakan ketika itu aku sedar atau bermimpi.

Aku terus teringat kata-kata ibuku, pesannya tidur hendak lah mengiring ke kanan atau menghadap kiblat supaya tidak mudah ‘dihempap’ atau ‘ditindih’.

Itu kali pertama dan terakhir aku ‘dihempap’ sejak dari kejadian itu aku akan pastikan aku memakai selimut ketika tidur serta mengiring ke kanan dan membaca doa tidur serta ayat Kursi sebelum lena.

P/S: Adalah diingatkan, ini adalah sekadar perkongsian sahaja.Sejauh mana kebenarannya, tidak dapat dipastikan.Perkara-perkara sebegini boleh membawa kepada amalan Khurafat dan Syirik.Ini adalah sesuatu yang berkait dengan dengan ilmu orang-orang Melayu lama dan berada diluar kotak pemikiran biasa.Oleh yang demikian, sekiranya anda merasakan info ini mengarut atau boleh mendatangkan bahaya akidah, anda diminta untuk tidak mengendahkan tulisan ini.Kepada yang beragama Islam, anda ditegah daripada mempercayainya 100%
#Hantu #Seram #Gempak Keliwon #Keliwon #Hempap #Tindih
;