Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#GempakMemilih2020 : Tuah Penjenamaan Kak Lina Pom Pom Buat Elly Mazlein

Asraf Aided
23/12/2020 08:40 MYT
Siapa sahaja yang tidak mengenali figura bernama Elly Mazlein atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina ini. Dahulunya terkenal sebagai penyanyi, kini Kak Lina semakin mengorak langkah ke cabang yang lebih luas dalam industri hiburan.

Tahun 2020 banyak menyaksikan kemunculan Kak Lina dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Terbaru, wanita berusia 40 tahun ini merupakan hos bagi program Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2) bergandingan bersama Nabil Ahmad.

Selain itu, Kak Lina juga sudah beberapa kali diundang sebagai hos jemputan program MeleTOP yang turut dikendalikan bersama Nabil.



2020 Tahun Bertuah

Kak Lina tidak menyangka 2020 merupakan tahun yang bertuah untuk dirinya sehingga membuatkan nama Elly Mazlein tercalon dalam beberapa anugerah tempatan.

"Saya sendiri tak pernah sangka tahun 2020 banyak membawa tuah kepada saya. Syukur Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari Allah SWT. Saya banyak menerima tawaran berlakon dan mengacara secara berterusan sepanjang tahun ini.

"Perkara itu membuatkan nama saya dicalonkan dalam banyak anugerah tempatan, walaupun tak menang, tercalon sahaja sudah mencukupi kerana ia merupakan kenangan manis dalam hidup saya," katanya kepada Gempak.

Rezeki Selepas Kahwin

Dalam pada itu, Kak Lina juga akui rezekinya tahun ini lebih banyak dikurniakan selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Mohammad Azlan Che Noh pada Januari lalu.

"Tidak dinafikan, Allah memberi rezeki yang lebih kepada saya selepas berkahwin, sebelum ini ada rezeki untuk anak saya, dan saya percaya dalam perkahwinan pun ada rezekinya juga," katanya.

Sebelum itu, Kak Lina pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta dan dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi sebelum bergelar ibu tunggal selama tiga tahun.



Tahun Paling Mencabar Sepanjang Bergelar Anak Seni

Kak Lina mula menjejak kaki dalam industri hiburan pada tahun 1998 dan menurutnya, tahun yang paling mencabar sepanjang bergelar anak seni adalah ketika fasa permulaan dan pada tahun 2004.

"Bagi saya, antara tahun yang paling mencabar adalah ketika fasa permulaan saya masuk ke industri, proses untuk membina nama itu bukanlah mudah.

"Selain itu, pada tahun 2004, saya agak struggle kerana ketika itu tiada album untuk dilancarkan, pada masa yang sama, tiada sebarang penggambaran untuk bidang lakonan," jelasnya.



Penjenamaan 'Kak Lina' Juga Membawa Tuah!

Ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menyedari tuah di sebalik nama kerana sejak ramai peminat memanggilnya Kak Lina, popularitinya semakin mengukuh.

"Pada mulanya, nama Kak Lina itu mula dipanggil oleh Nabil dan Jihan ketika saya menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), ia kerana nama itu memang telah dipanggil oleh ahli keluarga sejak dahulu lagi, jadi nama itu terus melekat hingga sekarang.

"Mungkin nama Kak Lina lebih dekat dengan peminat dan lebih kedengaran mesra berbanding Elly Mazlein, itulah yang dikatakan tuah di sebalik nama," tambahnya.

Sejak bergelar Kak Lina, perwatakan Elly Mazlein juga bertukar menjadi seorang yang lebih berani, ceria dan yakin diri.

"Jika dahulu, Elly Mazlein adalah seorang yang pemalu, banyak berdiam dan tidak yakin diri. Tetapi sejak melalui satu tahap yang memberi pengajaran dalam hidup, saya bangkit, kemudian nama Kak Lina ini ternyata mempunyai watak yang berbeza kerana saya sudah berani dan yakin diri.

"Jadi, nama Kak Lina benar-benar melambangkan penjenamaan baharu diri saya dalam industri hiburan," katanya lagi.



Gegar Vaganza Benar-Benar Membantu

Kak Lina akui, penyertaannya dalam GV3 membantu namanya untuk naik semula dalam industri dan kekal relevan sehingga kini.

"GV3 memang membantu kerjaya saya, sejak menyertainya hingga sekarang, kerjaya saya stabil dan terus dilihat oleh peminat, ia benar-benar menjadi platform untuk menaikkan semula nama saya," tambahnya.

Difahamkan, Kak Lina akan terus sibuk dengan pelbagai tawaran lakonan dan pengacaraan sehingga pertengahan tahun hadapan. Apapun, Gempak mengucapkan tahniah kepada Kak Lina kerana berjaya sepanjang tahun 2020 ini. Semoga Kak Lina maju jaya dan terus menyerlah!





#Elly Mazlein #Kak Lina Pom Pom
;