Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

#GempakSpot: 18 Puasa Di Kampong Pisang, Epik! Terima Kasih Mamat Khalid Ingatkan Kami Mengenai Neraca Dunia & Neraka

Maliah Surip 20/04/2021 | 15:21 MYT
Hari pertama tayangan dimulakan pada 15 April 2021. Pukul 8 malam saya dan suami sudah bersedia mahu membeli filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang ditayangkan secara eksklusif di Astro First.
Selepas terpukau dan rasa seronok semula menonton karya Melayu apa lagi hasil sentuhan sutradara prolifik Mamat Khalid dalam episod Kampung Pisang Bersiri Siri, naskhah 18 Puasa Di Kampong Pisang adalah hidangan yang dinanti nanti.
Apa lagi dua sekuel sempena bulan puasa sebelumnya iaitu 16 & 17 Puasa masih pekat dalam ingatan terutama modus operandi Geng Plastik Hitam dan bagaimana berusaha kerasnya sekumpulan pakcik pakcik melampias nafsu serta tidak memiliki kekuatan untuk berpuasa di bulan Ramadan.
Setiap karakter dari Barkoba sehingga Pak Jabit kemudian dihadirkan dua watak yang cukup kuat dan menjadikan seloka 18 Puasa Di Kampong Pisang sebagai sebuah naskhah epik terbaik di bulan puasa ini.
Saya percaya tidak ramai yang menyangka 18 Puasa Kampong Pisang ini dihasilkan Mamat dengan sebuah pengajaran yang disampaikan secara bersahaja menerusi eloka dan peringatan antara perbuatan kita di dunia dan gambaran neraka. Gambaran neraka itu memang mind blowing Mamat!
Dihadirkan dua ekor iblis dengan salah satunya sangat berjaya di tangan Nam Ron sementara iblis kedua iaitu Jaafar Onn membuatkan nama pelaku seni yang cukup popular pada tahun 90an ini kembali diingati.
Sebenarnya 18 Puasa Kampong Pisang ini adalah sebuah filem yang ringkas. Mamat tidak berusaha keras menarik minat audiens untuk melihat kredibilitinya sebagai seorang sutradara tersohor negara.
Beliau hanya menghidangkan sebuah realiti hidup kita dalam garapan magis sutradara yang cukup signifikan dengan kaedah kerjanya iaitu menyampaikan kritikan sosial.
Mengambil latar secara spesifik sikap Barkoba (Bell Ngasri) yang diberikan bintang tertinggi sebagai manusia bertopengkan syaitan setiap perincian filem yang berjaya mengutip RM1 juta dalam tempoh tiga hari tayangan ini penuh sindiran. Sindiran cara Mamat Khalid; bersahaja tapi pedas!
Jangan kata orang biasa, sampai ahli politik pun beliau usik. Mamat juga menyindir keras perbuatan memakan harta anak yatim serta sikap peniaga di bulan Ramadan yang meniaga hanya untuk keuntungan.
Itu belum lagi syaitan ajar kita macam mana cara nak bertaubat dan jenis jenis seksaan yang bakal kita sebagai manusia terima di neraka kelak.
Kemudian, ada banyak gila punchline merapu yang tak selari tapi memiliki maksud yang cukup deep.
Antara yang masih melekat adalah dialog singkat Ustaz Datuk Kazim Elias bersama Afea Deanna Baharudean atau lebih dikenali sebagai Yah Kucai.
Dia ditanya bila nak pakai tudung? Tapi dijawab Yah Kucai: "Ustaz, ustaz kan dah kahwin".
Soalan dan jawapan tidak sepadan, namun dalam dialog yang dibikin ini ia punya pengisian yang dalam ; tentang hukum agama dan nafsu manusia.
Ah dan dialog dialog di antara Barkora dengan dua syaitan yang 'menemaninya menziarah ke neraka' yang disampaikan dalam gaya biasa tetapi banyak menikam kita kerana ia adalah hal hal kecil dan besar yang sering kita juga lakukan, sama ada sengaja atau tidak.
Itu belum sentuh mengenai teknik penggambaran termasuk pengimejan neraka yang cukup menarik dan real dan pemilihan karakter yang tak perlu terlalu terdesak untuk dijual membuatkan filem ini jadi salah satu naskhah Melayu terlaris tahun ini.
Semuanya berjaya begitu sahaja kerana geniusnya Mamat Khalid dalam berkarya. Beliau memang sudah another level!
Serius, saya rasa dalam banyak banyak naskhah yang dihasilkan Mamat Khalid dari siri Rock sampai Hantu Kak Limah, 18 Puasa Kampong Pisang ini adalah sebuah masterpiece sutradara kelahiran Ipoh, Perak ini.
Kalau korang sudah lama terlupa macam mana nak ketawa berdekah dekah dengan dialog karya Melayu yang 'bangang bangang' dan mengeletek hati, tontonlah 18 Puasa Di Kampong Pisang. Kalau nak ingatkan diri untuk kumpul banyak amal di bulan Ramadan atau sekadar terus berbuat baik setiap hari juga, tontonlah filem ini.
Hidup jangan serius sangat, walau begitu amalan dan kewajipan kepada Allah jangan dilupakan. Takut jadi macam Barkoba nanti! Tapi untung juga kan Barkoba, hujung hujung buat hati Siti Elizad terpikat. Hemmm.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
#Filem #Astro First #mamat khalid #GempakSpot #Neraka #Barkoba #18 Puasa Di Kampong Pisang
;