Kekuatan hubungan suami isteri dalam memberi sokongan padu kepada pasangan masing-masing merupakan rahsia rumah tangga harmoni.

Dorongan yang tidak berbelah bahagi berfungsi sebagai teras kejayaan dalam sebuah perhubungan, malah gandingan dua individu memberikan sinergi hebat untuk kekal berjaya dan bahagia.

Kali ini, ruangan Gempak Spotlight menampilkan lima pasangan terkenal dan layak bergelar ‘Society’s Power Couple’.

Y.A.M Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Idris & Datuk Setia Aubry Mennesson



Santun puteri kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ini sentiasa disenangi rakyat. Tengku Zatashah mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Dato’ Setia Aubry pada November 2007.

Pasangan diraja romantis ini sering kelihatan bersama ketika menghadiri acara berprofil tinggi di ibu kota. Selain itu, Tengku Zatashah juga sentiasa aktif mempromosikan kempen menghentikan penggunaan beg plastik untuk menyelamatkan alam sekitar.


Y.A.M Tunku Aminah Maimunah Iskandariah & Dennis Muhammad Abdullah



Siapa sahaja yang tidak mengenali pasangan diraja secocok bak pinang dibelah dua ini. Puteri tunggal kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ini mula membina bahtera perkahwinannya bersama Dennis pada 14 Ogos 2017.

Tunku Aminah yang sentiasa berjaya dalam dunia perniagaan ini pernah diundang khas oleh ketua editor majalah Vogue, Anna Wintour untuk menghadiri majlis berprestij MET Gala beberapa tahun lalu.


Datuk Fadzarudin Anuar & Datin Vivy Yusof



Pasangan bahagia Datuk Fadzarudin Anuar & Datin Vivy Yusof sentiasa mencetuskan inspirasi untuk berjaya dalam dunia perniagaan di usia muda.

Dua insan terpenting di sebalik empayar perniagaan Fashion Valet dan dUCk ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2012. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Daniel Azim Shah, 5, Mariam Iman Shah, 3, dan Sarah Ilham Shah yang dilahirkan pada 10 Oktober tahun lalu.


Awal Ashaari & Scha Alyahya



Dua selebriti popular kesayangan ramai ini bukan sahaja berjaya mencipta nama dalam industri hiburan tanah air, gaya penampilan mereka juga tidak pernah menghampakan.

Awal dan Scha sering diundang ke acara fesyen bertaraf antarabangsa bukan sahaja di ibu kota malah di luar negara. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang turut popular iaitu Lara Alana yang kini berusia lima tahun.


Marion Caunter & SM Nasarudin SM Nasimuddin



Akhir sekali, tidak lengkap senarai ini tanpa meletakkan nama pasangan terkenal ini. Sudah tentu ramai yang mengenali Marion yang pernah bergelar pengacara E News Asia, apakan lagi suaminya SM Nasarudin yang memegang portfolio sebagai Pengurusi Kumpulan Syarikat Naza.

Pasangan ini berkahwin pada tahun 2010 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata. Marion dan Nasarudin kerap kelihatan di acara-acara mewah bersama kelompok sosialit lain di ibu kota.

Demikianlah senarai lima pasangan terkenal yang dipilih secara rawak oleh Gempak.

Aura, pesona dan lakaran cemerlang mereka dalam bidang masing-masing wajar dijadikan contoh buat anda di luar sana.