Laman Utama

#GempakTop2020: Joe Biden vs Trump, Kematian George Floyd, PRN Sabah, Filem Babi Isu Semasa Jadi Perbualan Netizen!

gempak
Fiza Kamarudin
25/12/2020
15:41 MYT
Sponsor Banner
#GempakTop2020: Joe Biden vs Trump, Kematian George Floyd, PRN Sabah, Filem Babi Isu Semasa Jadi Perbualan Netizen!
Tahun 2020 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis kepada seluruh masyarakat di dunia, lebih-lebih lagi apabila diuji dengan pandemik Covid-19.
Walaupun seluruh dunia berhadapan ketidaktentuan ekonomi sejak awal tahun ini akibat Covid-19, namun aktiviti harian tetap diteruskan seperti biasa selepas mengambil kira beberapa faktor.
Antara isu semasa yang menjadi perdebatan hangat seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri ialah Pilihanraya Amerika Syarikat melibatkan Joe Biden dan Donald Trump, kematian kejam George Floyd dan sudah tentu mengenai Covid-19!
#1 Joe Biden vs Donald Trump Calon Demokrat, Joe Biden menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 dengan menentang pencabarnya, Donald Trump dari parti Republikan.
Pilihan raya negara Uncle Sam itu turut menjadi perbualan netizen di Malaysia gara-gara ‘drama’ ciptaan Trump yang dilihat tidak dapat menerima hakikat kekalahan beliau!
#2 Kematian kejam George Floyd Kematian George Floyd pada Mei 2020 mencetus kemarahan dunia kerana pembunuhannya dianggap kejam.
“Tolong, tolong, saya tak boleh bernafas. Tolong benarkan saya berdiri. Saya tak boleh bernafas. Tolong, lutut pada leher saya ini,” rayuan mendiang terhadap anggota polis ini menjadi tular dan mengundang simpati netizen seluruh dunia.
“Perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas,” kata George yang dilihat tercungap. Seketika kemudian, lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu diam, tidak bergerak.
Kata-kata terakhir George yang menyedihkan itu lantas diolah menjadi puisi. Kematiannya benar-benar memberi kesan kepada dunia terutamanya negara yang kononnya paling maju pemikirannya, Amerika Syarikat.
Media sosial terutamanya Twitter dan Facebook ‘meletup’ dengan insiden tersebut. Meskipun sudah menjengah tahun 2020 namun keganasan terhadap komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat seakan tiada penghujungnya.
#3 Filem Babi Namewee Sungguhpun filem ini tidak akan ditayangkan di Malaysia, ia tetap menjadi kontroversi dan dituduh kononnya mempunyai provokasi perkauman.
Beberapa laporan polis dibuat terhadap pengarah filem ini Namewee kerana posternya yang mengandungi perkataan Babi dan tidak memohon kebenaran untuk menjalani penggambaran.
Bagaimanapun beberapa selebiriti dilihat mempertahankan Namewee dan filem tersebut dan berpendapat tidak wajar ‘menjatuhkan hukuman’ terlalu awal sebelum menontonnya!
#4 PRN Sabah Isu ini agak panas apabila rakyat Malaysia rata-ratanya mengecam Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung ketika virus Covid19 sedang menular.
Sehingga ada yang menyalahkan ahli politik dan mengaitkan penularan Covid-19 di Sabah dengan kumpulan tersebut.
#5 KWSP & i-Sinar Isu i-Sinar menjadi perbualan hangat kerana rata-rata kecewa dengan KWSP pada mulanya apabila timbul kekeliruan mengenai kategori layak mengeluarkan wang daripada akaun 1.
Bagaimanapun selepas penerangan lebih jelas oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan KWSP, rakyat lebih tenang dan berpuas hati.
#6 Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Ke-8 Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Mac lalu.
Namun, selepas Muhyiddin rasmi sebagai PM ke-8, ada kata-kata kurang enak mendakwa berlaku ‘rampasan kuasa’ menerusi ‘pintu belakang’.
#7 Moratorium Antara usaha kerajaan yang mendapat sambutan baik rakyat ketika menghadapi kesukaran hidup berdepan Covid-19.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata antara golongan yang mendapat bantuan itu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baru.
#8 Macau Scam Isu ini benar-benar menggoncang Malaysia apabila beberapa individu terkenal ditahan SPRM untuk membantu siasatan mengenai Macau Scam.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan dua individu iaitu Alvin Koh dan Addy Kanna yang dikatakan dalang terbesar Macau Scam dan judi atas talian.
#9 Panggung Wayang tutup Awal November lalu kesemua panggung wayang ditutup buat sementara sebagai salah satu langkah untuk mengawal penularan pandemik COVID-19.
Bagaimana operasi pawagam dibuka semula di beberapa lokasi bermula 16 Disember lalu selepas kerajaan tidak menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
#10 Stadium Ffira Mikah Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap ini mencetuskan kontroversi dan dikatakan tidak melalui prosedur pemilihan nama yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Nama stadium mini Ffira Mikah menjadi bualan orang ramai selepas ia dikatakan menyamai nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor yang dieja secara terbalik.
Bagaimanapun, Hakim Ariff tampil menyangkal dakwaan berkenaan dan mendakwa nama terbabit mempunyai maksud tersirat iaitu dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat.
Apapun, ini hanyalah isu semasa 2020 pilihan kami di Gempak ya!
Selamat tahun baru semua pembaca kesayangan Gempak...
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024