Selebriti dan kontroversi bagai tidak dapat dipisahkan, tak terkecuali tahun 2020.

Meskipun industri seni bergerak dengan agak perlahan kerana pandemik Covid-19 yang melanda, namun kisah selebriti sering menjadi tumpuan walau apa pun.

Bukan sahaja selebriti, malah individu yang popular yang sering menjadi sebutan ramai turut terpalit dengan isu kontroversi.

Tanpa membuang masa, Gempak membawa pembaca mengimbau isu kontroversi dan sensasi yang berlaku sepanjang tahun ini:

#1 Sajat Bertudung Di Mekah

Nama ahli perniagaan Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat menjadi bualan hangat selepas bertudung dan mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial.

Tindakan Sajat itu telah menimbulkan kontroversi dan kecaman umat Islam serta para ulama dan pendakwah bebas. Sajat tidak keseorangan malah bersama ibu bapanya ke tanah suci untuk mengerjakan umrah.

Namun Sajat tenang menghadapinya, malah bersyukur kerana telah selesai menunaikan umrah bersama keluarga.

#2 Perbalahan Antara Ali Puteh & Isteri Arwah Abam

Tindakan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri bertemu dengan balu Abam Bocey iaitu Noor Hidayah bagi bertanyakan kehidupannya selepas pemergian suaminya telah mencetuskan kekecohan.

Semuanya gara-gara dalam video pertemuan Aliff dan Hidayah dengan tidak sengaja membongkar sesuatu mengenai konflik hubungan Ali bersama akak iparnya itu.

Tidak pasti apakah konflik yang terjadi sebenarnya, namun netizen mula membuat spekulasi bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan urusan pembahagian harta pusaka.

Selepas itu, berlaku perbalahan menerusi sosial media dan sidang media yang dilakukan oleh Ali dan Hidayah secara berasingan.

Isu pembahagian harta itu akhirnya selesai selepas mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham.


#3 Artis Minta Bantuan Kerajaan

Industri hiburan Malaysia jadi panas selepas ada segelintir artis yang bersuara meminta kerajaan untuk tidak terlepas pandang terhadap golongan pelaku seni yang juga memerlukan bantuan khas kerajaan ketika pandemik Covid-19 mula-mula melanda negara ini.

Ia bermula apabila beberapa artis meminta kerajaan menyediakan dana khas terhadap golongan selebriti yang berdepan kesempitan hidup akibat tidak dapat bekerja kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara artis yang menimbulkan isu tersebut adalah pelawak, Shuib Sepahtu, Achey, Black Hanifah, Tomok dan segelintir lagi.

Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga ada netizen mula melancarkan perang terhadap mereka. Rata-rata berpendapat kerajaan harus mengutamakan rakyat yang lebih susah dan memerlukan terutama yang turut terjejas dalam tempoh itu.

Ironi, para artis mempertahankan suara mereka bukan untuk diri sendiri, tetapi buat kelompok yang memerlukan.

#4 Zarina Perang Seniman

Susulan isu artis minta bantuan khas kerajaan, pelakon Zarina Anjoulie tampil sebagai tanda tidak setuju dengan segelintir artis itu.

Zarina telah menegur sikap sesetengah artis yang mengamalkan gaya hidup mewah dan suka menunjuk nunjuk di laman media sosial, namun, masih berjuang merayu bantuan kerajaan.

Kelantangan Zarina itu didakwa telah menimbul rasa tidak puas hati dari pihak artis lain. Malah tular paparan skrin perbualan dalam kumpulan artis di aplikasi Telegram yang didakwa mengecam Zarina.

Justeru Zarina membuat laporan polis terhadap tiga pelakon yang juga ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berikutan beberapa tindakan mereka yang mengaibkannya dalam satu kumpulan aplikasi Telegram dan media sosial itu.

#5 Selebriti & Macau Scam

Kecoh seketika apabila nama Shuib Sepahtu dan iserinya Sarah Raisudin telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram atau Macau Scam.

Pun begitu Sarah hanya menemani suaminya dan mereka dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan selepas tempoh 23 jam.

Susulan itu, seramai 10 artis dan selebriti lagi dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan kumpulan cuci duit haram dan perjudian dalam talian.

Bagaimanapun senarai artis itu tidak didedahkan. Namun netizen mula mengaitkan beberapa nama artis lain yang turut terpalit dengan isu tersebut, antaranya Zulin Aziz, Chacha Maembong, Fara Mendoza dan Scha Elinnea. Kesemua mereka menafikan dakwaan tidak berasas tersebut.

#6 Neelofa Berniqab, Dipinang PU Riz & 'Putus'

Penampilan pengacara dan pelakon popular Neelofa yang memuat naik beberapa gambarnya kini mengenakan purdah atau berniqab mengundang tanda tanya ramai mengenai penampilan terbaharunya itu.

Namun ia mendapat pujian serta ‘restu’ dari seluruh rakyat Malaysia yang rata-rata kagum dengan perubahannya itu. Neelofa kemudian tampil mendedahkan mengenai keputusannya berniqab adalah sesuatu yang tidak mudah dan sudah lama difikirkan.

Perubahannya itu kemudian mula dikaitkan dengan hubungannya PU Riz yang dikatakan istimewa sehingga dapat mengubah Neelofa kearah kebaikkan.

Tanda tanya hubungan mereka akhirnya terjawab apabila diikat dengan tali pertunangan. Majis pertunangan mereka diadakan secara tertutup hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.

Namun pada 26 Disember 2020 (semalam), industri hiburan negara digemparkan dengan khabar yang mengatakan ikatan Lofa dan Riz sudah berakhir. Spekulasi itu tercetus selepas Lofa dan seluruh ahli keluarganya memadamkan foto foto sewaktu majlis merisik, selain dakwaan di aplikasi WhatsApp yang mendakwa keduanya telah bernikah secara rahsia.

Sehingga kini, kedua dua belah pihak tidak memberi sebarang kenyataan, sama seperti majlis merisik yang dilakukan beberapa bulan lalu.

#7 Foto dan Video Lucah Mirip Fauzi Nawawi

Hampir setiap tahun pasti ada foto dan video lucah mirip selebriti lelaki terutamanya yang tersebar dan ditularkan, tak terkecuali tahun 2020.

Selepas Zul Ariffin mengakhiri kisah foto lucah mirip wajahnya pada akhir tahun lalu, pelakon Fauzi Nawawi pula telah dikaitkan dengan sebuah video lucah mirip wajahnya.

Fauzi bagaimana pun tidak mudah melatah dan bertindak mahu membuat laporan polis terhadap individu yang tidak bertangunggjawab menyebarkan video tersebut.

#8 Da'i Syed Dituduh Merogol

Nama bekas peserta program televisyen bercorak keagamaan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal, 25, menjadi bualan hangat selepas seorang gadis menularkan sebuah kisah rakannya yang didakwa telah menjadi mangsa rogolnya.

Tidak lama selepas itu satu persatu wanita muncul membuat laporan polis mengenai pendakwah bebas yang turut mendakwa mereka menjadi mangsa Da’i Syed. Lalu, Da’i Syed dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan berhubung kes merogol gadis sejak September tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Da’i Syed turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Selepas 18 hari direman dan didakwa atas tiga dakwaan termasuk merogol, penceramah selebiriti itu akhirnya diikat jamin dengan RM35,000.

Sepanjang perbicaraan itu, Da’i Syed kelihatan sangat tenang sehingga saat dibebaskan. Dia memohon semua pihak memberi ruang kepadanya untuk dia memulihkan jiwa dan mentalnya selepas berada di lokap.


#9 Foto Mesra Sharifah Sakinah Dengan Kekasih Sweden

Selepas perkahwinan yang dibina berakhir pada Mei lalu, pelakon Sharifah Sakinah dlihat mengambil langkah move on dengan agak cepat sekali apabila berkawan dengan seorang jejaka dari Sweden.

Bermula hanya sebagai trainer yang selalu menemaninya melakukan senaman, mereka kemudian dilihat sangat mesra sehingga foto mereka berdua mengundang kecaman.

Selepas membiarkan hubungan mereka menjadi teka-teki, Sakinah akhirnya mengakui mereka sedang berada di fasa bercinta dan bakal mengakhirinya dengan sebuah perkahwinan. Sakinah dijangka mendirikan rumah tangga pada 28 Mei tahun hadapan.


#10 Perbalahan Noraniza Idris, Michael Ang


Pertelingkahan antara Michael Ang dengan penyanyi Noraniza Idris tercetus apabila pengarah itu menulis kritikan pedas mengenai persembahan Noraniza di Gegar Vaganza 7 (GV7). Sekaligus, ia menimbulkan kemarahan Noraniza, keluarga dan peminatnya.

Bagaimanapun, konflik antara penyanyi, dan pengarah Michael Ang akhirnya terlerai apabila keduanya kembali berdamai dalam satu pertemuan diatur pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), baru-baru ini. Mereka akhirnya mengenali secara peribadi dan mula berdamai.