Anmum Essential membina IQ dan membentuk EQ. Anak korang menjadi hebat!

#GempakTravel - Tenang & Mendamaikan, Ini 5 Aktiviti Wajib Yang Perlu Anda Lawati Di Cherating

Azwa Rahman
03/10/2019 11:11 MYT
Cherating merupakan destinasi popular yang menjadi tarikan utama di negeri Pahang.

Pantainya yang bersih, bandarnya yang mendamaikan dan alam semulajadinya yang terpelihara, Cherating seharusnya diletakkan di dalam senarai wajib lawat

Berkesempatan menyertai lawatan Discover Royale Chulan Hospitality bersama Hotel Royale Chulan dan Firefly Airlines di Royale Chulan Pulau Pinang dan Cherating, Gempak senarai lima aktiviti yang harus anda buat apabila tiba di Cherating.


1. Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan



Air terjun Sungai Pandan merupakan antara aktiviti popular jika anda berkunjung ke Cherating. Turut dikenali dengan nama air terjun pelangi, lokasi insta-worthy ini sesuai untuk aktiviti anda bersama keluarga dan teman-teman.

Terletak hampir satu jam perjalanan dari pusat peranginan Cherating, anda wajib cuba melalui jambatan gantung yang tersedia menghubungkan kedua-dua belah bahagian air terjun tersebut.

2. Melepaskan anak penyu ke pantai



Sesuai untuk aktiviti sekeluarga, aktiviti melepaskan anak penyu ke pantai ini wajib anda cuba jika melawat Cherating.

Memilih Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating, ada beberapa pusat pemeliharaan penyu yang tersedia di kawasan Cherating yang anda boleh pergi. Waktu lewat petang merupakan masa yang sesuai untuk melepaskan anak penyu ini ke pantai.

Perasaan teruja bercampur sayu pasti menyelebungi diri anda kerana dengan jumlah haiwan itu yang semakin berkurangan, usaha meyelamat dan memelihara giat dilakukan.

3. Meninjau Kelip-kelip



Terletak di Hafiz River Activities, hanya beberapa minit sahaja dari bandar Cherating, anda akan terpukau melihat kecantikan cahaya bertaburan yang terhasil daripada serangga kelip-kelip.

Anda perlu menaiki bot dan menyelusuri sungai paya bakau untuk memasuki ke habitat mereka.

Cukup indah! Suasana malam yang berlatarbelakangkan bintang cerah, disambut pula dengan cahaya-cahaya kecil serangga ini, ia umpama magis!

4. Melawat Pusat Tenunan Pulau Keladi



Tak lengkap melawat negeri Pahang kalau tidak melihat sendiri bagaimana kain tenun Pahang dihasilkan.

Terletak di bandar Diraja Pekan, satu jam 30 minit perjalanan dari Cherating, Pusat Tenunan Pulau Keladi berada di bawah naugan pengetuanya, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Di pusat ini, anda boleh menilai sendiri kualiti tenun Pahang yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus tenun mereka.

Selain berpeluang melihat bagaimana tenun Pahang terhasil, terdapat juga pusat jualan yang menyediakan kain yang siap ditenun. Rugi kalau tidak membawa sehelai kain tenun Pahang sebagai buah tangan.

5. Lombong Bijih Timah Sungai Lembing



Menjadi antara lombong bijih timah terawal di Malaysia, tempat ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Dengan bayaran masuk serendah RM15 untuk dewasa dan RM7.50 untuk kanak-kanak, anda akan dibawa menghayati gua bijih timah, tempat yang menjadikan Sungai Lembing cukup ternama pada satu ketika dahulu.

Anda akan dibawa menaiki lokomotif lama dan berpeluang berjalan kaki sejauh empat kilometer ke dalam lombong yang turut digelar Tai Pei Tong.


Jika anda melancong ke Cherating, ambil peluang untuk menginap di Royale Chulan Chalets dan Villa Cherating.



Kedudukannya yang strategik mengadap pantai, chalet dan villa ini menyediakan dua bahagian untuk setiap bajet tetamu.



Villa mewah untuk mereka yang mahu menghabiskan masa romantis bersama ataupun chalet yang sesuai untuk seisi keluarga, Royale Chulan Cherating destinasi penginapan terbaik anda apabila berkungjung ke pusat peranginan terkenal ini.




Tak suka memandu? Apa kata terbang ke Cherating!

Syarikat penerbangan Firefly membuka laluan baru dari Pulau Pinang ke Kuantan Pahang. Dengan tiga penerbangan seminggu, anda tidak perlu lagi bersusah payah memandu untuk sampai ke Cherating.



Mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, perjalanan ke Cherating hanya mengambil masa selama 40 minit.

#Malaysia #Travel #Pahang
;