HIBURAN

#GempakWeeklyEdition: Ross Butler Puas Makan Durian, Cerita Di Batu Caves!

Maliah Surip 10/08/2025 | 07:07 MYT
Bintang Hollywood Ross Butler mengaku dalam temu bual bersama Harpers Bazaar pada edisi Oktober 2020 bahawa dia dan ibunya pernah tidak berbicara selama beberapa tahun kerana keputusan untuk menjadi aktor.

Ironi kata Butler, keputusan masuk ke dunia seni pada waktu itu adalah untuk keluar daripada zon selamat. Dia tidak mahu menganyam pekerjaan sebagai jurutera - bidang yang ditekuni seperti keinginan keluarga.

Waktu bergulir. Butler kini membuktikan keputusan menjadi aktor adalah tepat. Namanya harum sebagai salah seorang aktor yang tidak hanya memiliki peminat dari seluruh pelusuk dunia namun sering menjadi kepercayaan penerbit dan pengarah untuk menghidupkan karakter dalam naskhah mereka.



Kini Butler sedang sibuk mempromosi filem terbaharunya, Worth the Wait. Ia menjadi naskhah romantik yang menyaksikan Butler memainkan karakter Khai menjalin asmara bersama Leah (Lana Condor) yang diarahkan oleh sutradara berprolifik tinggi dari Taiwan, Tom Lin Shu-yu.

Worth the Wait yang mengisahkan tentang empat pasangan dengan budaya berbeza antara Asia - Amerika ini secara tidak langsung mempunyai persamaan asal usul Butler.

Apatah lagi apabila filem yang turut dibintangi aktor-aktres ternama seperti Sung Kang, Andrew Koji, Elodie Yung, Ricky He, Ali Fumiko Whitney, Karena Lam dan Osric Chau ini turut menjalani penggambaran di Malaysia - negara kelahiran ibunya yang berbangsa Cina.

Ibu Butler berkahwin dengan lelaki Belanda dan bintang berusia 35 tahun ini banyak berkelana termasuk menetap di Singapura sebelum menuai sukses di Amerika Syarikat.

Butler yang cukup terkenal menerusi 13 Reasons Why melahirkan keterujaan bukan hanya kerana kembali melihat diversiti yang terdapat di Malaysia tetapi menikmati raja buah yang merupakan kegemarannya.

“Saya seorang penggemar durian! Dulu waktu kecil ibu selalu belikan saya durian yang dibekukan tetapi kembali ke sini (Malaysia) menjalani Worth the Wait adalah satu pengalaman berbeza. Mind blowing!”akui Butler seperti diterjemahkan daripada temu bual StarLifestyle sewaktu sidang media di ibu kota baru-baru ini.



Selain durian, Butler mengaku banyak makanan enak yang dinikmati di Malaysia.

“Tapi sebagai pelakon saya tidak boleh makan terlalu banyak di set penggambaran. Namun saya sukakan makanan (di Malaysia),” katanya.

Suka Batu Caves

Pada temu bual sama Butler turut berkongsi keterujaan berlakon di beberapa lokasi ikonik Malaysia yang dipaparkan dengan cantik dalam Worth the Wait.

Ia termasuklah Batu Caves, Petaling Street dan Dataran Merdeka.

“Saya suka penggambaran di Batu Caves. Bukan hanya tentang anak tangga tetapi kerana monyet di sana dan Condor takut haiwan tersebut. Kami asyik ‘berlari’ daripada seekor monyet yang besar kerana Condor,” kenang Butler.

Worth the Wait kini sudah ditayangkan di pawagam Malaysia dan penerbitnya, Dan Mark menyifatkan penayangan filem ini di beberapa negara lain di dunia sebagai berbaloi kerana ia mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan.
#Malaysia #Durian #Gempak Weekly Edition #Worth The Wait #Ross Butler