Hiburan

#GempakWrapped2024: Jasamu Dikenang! Hamdan Senario, Nabil Zamanhuri, Datuk S. Atan, Jafaar Onn Antara Bintang Yang Gugur

gempak
Asyraf Roslan
31/12/2024
03:55 MYT
Sponsor Banner
#GempakWrapped2024: Jasamu Dikenang! Hamdan Senario, Nabil Zamanhuri, Datuk S. Atan, Jafaar Onn Antara Bintang Yang Gugur
Tahun 2024 meninggalkan pelbagai kenangan, tidak terkecuali dengan pemergian beberapa figura seni yang pernah mengukir senyuman, menghibur, dan menyentuh hati rakyat Malaysia.
Kehilangan nama-nama besar seperti Hamdan Senario, Nabil Zamanhuri, Datuk S. Atan, Jafaar Onn, dan Datuk Ahmad Nawab telah meninggalkan kekosongan besar dalam dunia seni.
Sebelum kita melangkah ke tahun baharu 2025, marilah kita imbas kembali perjalanan terakhir anak-anak seni yang telah pergi sepanjang 2024.
1. Hamdan Senario – 5 Januari 2024
Pelawak tersohor, Hamdan Ramli, 54, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pada jam 12.50 tengah hari. Pemergian anggota kumpulan Senario ini disahkan oleh rakannya, Azlee Jaafar.
Hamdan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA sejak 31 Disember 2023 akibat jangkitan kuman selepas mengalami cirit-birit dan sesak nafas. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.
2. Jafaar Onn – 3 April 2024
Artis versatil, Jafaar Onn, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang pada usia 73 tahun.
Berita pemergian beliau disahkan oleh anak saudaranya, Fahmi Aziz, menerusi sebuah hantaran di Facebook. Allahyarham difahamkan meninggal dunia ketika menjalani prosedur endoskopi.
3. Hail Amir – 5 Mei 2024
Penyanyi dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Hail Amir, 76, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Cinta Hailfi.
Sebelum itu, Hail dimasukkan ke hospital akibat batuk berterusan.
4. Nabil Zamanhuri – 26 Mei 2024
Bekas penyanyi dan pengacara, Nabil Zamanhuri, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang. Pemergian beliau disahkan oleh kakaknya, Najihah, menerusi sebuah hantaran di Facebook.
Isterinya, Adelia Citra Hapsari, memaklumkan arwah menunjukkan tanda kurang baik selepas selesai solat Subuh. Nabil meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata.
5. Pyanhabib Rahman – 4 Jun 2024
Pelakon dan penyair terkenal, Mohd Supyan Abdul Rahman atau Pyanhabib Rahman, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di AU4, Keramat.
Anaknya, Najihah Mohd Supyan, menyatakan bahawa pemergian Babah sangat mengejutkan kerana beliau tidak pernah menunjukkan tanda-tanda penyakit kronik. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4.
6. Kamal Bakar – 24 Jun 2024
Pelakon veteran, Kamal Bakar, meninggal dunia di ICU Hospital Melaka pada jam 1 pagi. Pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Hanis Kamal, di Facebook.
Allahyarham disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat selepas menunjukkan tanda-tanda kesihatan merosot pada awal bulan Jun.
7. Jay Jay – 4 Ogos 2024
Penghibur veteran, Mohd Fauzi Darus atau Jay Jay, meninggal dunia di sebuah hospital di Damansara pada jam 9.27 malam. Beliau popular dengan lagu Rindu Bayangan dan mengalami lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Pemergian beliau meninggalkan kenangan manis bagi peminat muzik tanah air.
8. Nidza Ahfam – 14 Ogos 2024
Penyanyi muda, Muhammad Nidza Ahfam Mokhtar, 23, ditemukan meninggal dunia di Jambatan Kota, Klang, selepas dilaporkan hilang.
Bedah siasat mengesahkan tiada unsur jenayah, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
9. Datuk S. Atan – 16 November 2024
Komposer legenda, Datuk S. Atan, meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang. Pemergian beliau disahkan oleh isterinya, Datin Norizan Yeob.
Allahyarham sebelum ini dirawat di hospital akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
10. Datuk Ahmad Nawab – 24 November 2024
Komposer veteran, Tan Sri Ahmad Nawab, menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun di kediamannya di Taman Melewar, Gombak.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, memaklumkan pemergian legenda seni ini yang telah menghasilkan ratusan lagu malar segar.
11. Lan Zailan – 19 Disember 2024
Pelakon Lan Zailan atau nama sebenarnya Zailan Kamaruddin, 66, meninggal dunia akibat kanser pankreas tahap empat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Allahyarham dimandikan di Masjid As Salam Puchong Perdana dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat industri seni Malaysia.
Namun, legasi dan karya mereka akan terus hidup dalam ingatan, memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan.
Al-fatihah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024