Hiburan
#GempakWrapped2024: Nasi Kandar Berpasir, Bodohkan Penjual Teh, Pengakuan Ranjang Jefri Nichol & Nikah Tak Sah Antara Kisah Panas Dari Indonesia
Pejam celik 2025 hampir tiba dan memori 2024 harus ditinggalkan jua. Pastinya setiap lipatan menyimpan cerita sekaligus menjadi sejarah dan peristiwa baik sempurna atau buruk.
Begitu juga dunia hiburan Indonesia yang banyak mencipta segala cerita dari sensasi sehingga menjadi tumpuan masyarakat dunia. Dan ini sebahagian cerita yang terjadi di tahun 2024.
Sensasinya Jefri Nichol
Nama Jefri Nichol menjadi sorotan apabila dia mengaku sudah meniduri 20 wanita sepanjang menjalin hubungan cinta. Bintang filem Ali Topan itu memberi isyarat tangan 'ya' sewaktu ditanya mengenai jumlah wanita yang pernah ditiduri.
Menurut netizen, pengakuan yang dibuat aktor tersebut tidak patut disiarkan dan menjadi satu topik yang normal untuk dibahas.
Gosip percintaan Jefri bersama selebriti media sosial asal Malaysia iaitu Ameera Khan juga terus menjadi bualan apabila mereka dilihat mesra berpegangan tangan dan terbaharu Ameera memanggil Jefri dengan panggilan 'sayang. Sweet!
Berilmu Tak Semestinya Adab Tinggi
Heboh di seluruh platform media sosial Indonesia apabila penceramah bebas yang memegang peranan sebagai Utusan Khusus Presiden, Miftah Maulana Habiburrahman atau Gus Miftah mempermalukan seorang penjual air teh depan khalayak di sebuah majlis agama.
Perlakuan dan perkataan 'bodoh' yang digunakan Gus Miftah disifatkan kasar serta tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang tokoh yang disegani.
Susulan itu, permohonan maaf turut dibuat selepas Gus Miftah menerima teguran daripada pihak kerajaan sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat. Semoga jadi iktibar!
Kecoh Nikah Tak Sah!
Kecoh apabila pasangan selebriti terkenal, Rizky Febian dan Mahalini didakwa belum mendaftarkan perkahwinan mereka ke pejabat agama walau sudah lapan bulan mendirikan rumah tangga.
Ini sekali gus membuatkan pernikahan pelantun lagu Bermuara itu disifatkan tidak sah di sisi agama dan undang-undang kerana tidak memenuhi syarat rukun nikah.
Majlis hakim mendapati wali yang menikahkan pasangan itu pada Mei lalu tidak memenuhi kriteria rukun nikah apabila menggunakan wali hakim kerana ia bukan wali nasab dan bukan wali hakim yang dikehendaki seperti undang-undang.
Sehubungan dengan itu, pihak majlis hakim mengusulkan agar Rizky dan Mahalini menikah semula.
Bahana Dapat Suami Kaki Pukul
Kisah pempengaruh Cut Intan Nabila yang didera suami, Armor Toreador ternyata menjadi bualan hangat ramai apabila dia memuat naik rakaman video CCTV dirinya dibelasah suami yang juga menendang bayi baru lahir mereka.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu bertindak berbuat demikian selepas tidak tahan sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak lima tahun berkahwin. Pendedahan tersebut membawa kepada penangkapan Armor selain Cut Intan memfailkan perceraian terhadapnya.
Bertegas untuk tidak mahu kembali menjadi isteri Armor, Cut Intan turut mendedahkan video lama dirinya dicekik dan dipukul pada bahagian wajah dengan disaksikan salah seorang anak mereka.
Drama Keluarga Nikita Mirzani
Selepas melaporkan kekasih anaknya, Vadel Badjideh kepada pihak polis atas dakwaan memaksa anaknya Laura Meizani atau Lolly menguggurkan anak dua kali, Nikita Mirzani membuat heboh dengan mengheret Lolly meninggalkan apartment yang dihuni sehingga gadis berusia 17 tahun tersebut menjerit histeria.
Vadel yang juga merupakan seorang pempengaruh media sosial juga mendakwa sudah cuba memulangkan Lolly sebanyak enam kali kepada Nikita namun tidak dilayan. Vadel turut menafikan telah tidur bersama apalagi menyetubuhi kekasihnya itu.
Malah, Vadel turut menafikan tuduhan Nikita yang mengatakan dia telah membuat Lolly hamil dan memaksa gadis bawah umur itu menggugurkan kandungan.
Vadel juga menunjukkan hasil pemeriksaan Ultrasound atau USG kehamilan Lolly yang negatif. Vadel memberi jaminan akan senang hati disumbat ke penjara jika dia terbukti bersalah.
Haram Bakar Mayat Seorang Muslim
Berita kematian suami pelakon Jennifer Coppen, Dali Wassink ternyata menjadi buah mulut apabila Dali yang maut kerana terlibat kemalangan jalan raya di Bali mash muda iaitu 22 tahun selain mayat Dali dibakar meski lelaki tersebut telah memeluk agama Islam.
Selain itu, Jennifer menafikan dakwaan yang dia dan Dali bertikam lidah sebelum Dali kemalangan. Dakwaan Dali meninggal dunia kerana kemalangan kerana dibawah pengaruh alkohol turut tersebar luas namun dinafikan.
Tindakan ahli keluarga yang membakar mayat Dali Wassink mengundang pertikaian ramai lebih-lebih lagi selepas mengetahui Allahyarham merupakan seorang mualaf malah tindakan tersebut haram bagi seorang yang beragama Islam.
Tergamak Cakap Nasi Kandar Berpasir
Pemenang Masterchef Indonesia musim kelima, Chef Stefani Horison atau Fani mendakwa Nasi Kandar Malaysia mempunyai rasa yang 'biasa' selain 'berpasir' kerana menggunakan rempah serbuk.
Dia kemudian memperkenalkan nasi kandar yang disediakan olehnya di restoran miliknya sebelum mendakwa makanan itu jauh lebih sedap kerana menggunakan bahan rempah yang lebih segar, berbeza dengan di Malaysia.
Selain disifatkan tidak menghormati makanan tradisional Malaysia, pengguna media sosial berpendapat Fani tidak patut membandingkan rasa nasi kandar asli dengan resipi yang telah diciptakan olehnya.
Sebagai informasi, nasi kandar adalah hidangan utara Malaysia yang popular, dan berasal dari Pulau pinang dan dimashyurkan oleh peniaga India Muslim.