Hiburan
#GempakWrapped2024: Siti Nurhaliza, Hael Husaini, Susan Lankester, & Aina Abdul Antara Bintang Terbaik 2024
Tahun 2024 memberikan kenangan pahit manis buat semua termasuk selebriti tanah air yang berjaya mencipta sejarah apabila mendapat anugerah tidak kira di pentas tempatan mahupun antarabangsa.
Antara selebriti yang berjaya meraih pencapaian terhebat sepanjang 2024 adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hael Husaini, Susan Lankester, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Ramai lagi.
Bukan sahaja selebriti pencapaian yang membanggakan untuk Miss Universe Malaysia, juga harus diraikan.
Sebelum melangkah masuk ke tahun baharu 2025, kita imbas kejayaan yang telah mereka perolehi sepanjang 2024:
Datuk Seri Siti Nurhaliza
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara di Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
Susan Lankester
Bukan sahaja berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024.
Aktres berusia 62 tahun ini juga mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 menerusi filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.
Beto Kusyairy
Selepas memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32), aktor Beto Kusyairy sekali mencipta sejarah apabila berjaya merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di FFM33.
Bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah kerana terikat dengan penggambaran.
Hael Husaini
Lagu ciptaan penyanyi, Hael Husaini bersama Iqie Hugh berjaya dinobatkan sebagai pemenang Lagu Tema Atau Judul Tema Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2024.
Kemenangan lagu Diam bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah membuktikan kualiti tinggi hasil karya seni tempatan mampu bersaing di persada global.
Ernie Zakri
Menerusi fenomena lagu Masing-masing, penyanyi Ernie Zakri berjaya merangkul anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di SCTV Awards 2024 yang berlangsung di Jakarta.
Lagu ciptaan Ade Govinda dan Nabila V itu berjaya merangkul anugerah tersebut menerusi sinetron Luka Cinta.
Azira Syafinaz & Fabian Loo
Malaysia berjaya mengungguli empat kategori anugerah pada malam kemuncak Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61.
Dalam empat kategori tersebut, pelakon, Azira Shafinaz dan Fabian Loo masing-masing dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik menerusi filem “Indera” dan “Rain Town”.
Malaysia turut meraih kejayaan dalam kategori Filem Pendek Terbaik melalui “The Lonely Piano” dan Anugerah Khas Juri menerusi filem “EMP4T”.
Siti Saleha
Hasil lakonan hebat dalam drama SeOfis, pelakon Siti Saleha dinobatkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada majlis Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024.
Menurut Siti Saleha kemenangan tersebut bukan sahaja menjadi momen indahnya seorang tetapi satu pencapaian istimewa buat tanah air sendiri.
Anna Jobling
Pelakon, Anna Jobling berjaya merangkul tiga anugerah di Gempak Most Wanted Award 2023.
Antara anugerah yang dibawa pulang oleh aktres cantik itu adalah Selebriti Digital Tergempak 2023 , Anugerah Drama Rambut Tetap Boom dan Anugerah utama iaitu Anugerah Gempak Most Wanted Award.
Aina Abdul
Memperoleh lebih 8.8 juta undian, penyanyi Aina Abdul diumum sebagai Bintang Paling Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Paling Popular.
Sandra Lim
Selepas 54 tahun, Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim berjaya mencipta rekod apabila berjaya mencapai kedudukan Top 30 dalam pertandingan Miss Universe ke-73 di Mexico.
Sandra turut mendedikasikan kejayaannya kepada rakyat Malaysia, menyatakan bahawa mereka yang telah membuat dunia melihat Malaysia, bukan dirinya seorang.
Bukan sahaja bercakap mengenai pencapaian selebriti, malah drama dan filem buatan Malaysia juga berjaya memperoleh kemenangan di pentas tempatan dan juga antarabangsa.
Abang Adik
Filem Abang Adik memenangi Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival 2024 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dalam majlis sama, bintang utamanya Wu Kang-ren yang membawakan watak Abang turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi kategori Feature Snow Leopard.
Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics' Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
One Cent Thief
Astro membawa pulang 13 anugerah pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Antara kejayaan yang dilakar Astro adalah Drama Bersiri TV Terbaik menerusi drama One Cent Thief terbitan Astro Shaw.
Once Cent Thief dibintangi Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Fabian Loo, Faizal Hussien dan Sofia Jane.
Anugerah ini juga adalah bukti komitmen Astro yang teguh untuk menaikkan standard penyiaran tempatan dan mencipta kandungan luar biasa yang menarik minat penonton dan menginspirasi industri.
Imaginur
Filem arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur dinobatkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Kemenangan berkenaan membolehkan filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. itu membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Filem tersebut turut membawa pulang tujuh anugerah lain termasuk Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Beto Kusyairy, manakala Nik Amir sendiri membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik.
Must-Watch Video