VIRAL
Gempar Kes Perkahwinan Sejenis, Rupa-Rupanya Pengantin Lelaki Khunsa!
Penduduk di daerah Bone, Sulawesi Selatan, gempar apabila tersebar berita mengenai satu majlis perkahwinan yang disangka melibatkan pasangan sejenis.
Namun, siasatan lanjut mendapati pengantin lelaki sebenarnya memiliki dua alat kelamin atau dikenali sebagai khunsa.
Ketua Kampung Arasoe, Andi Amal Pahsyah, menjelaskan bahawa perkahwinan tersebut bukanlah melibatkan pasangan sejenis seperti yang tular di media sosial.
“Bukan perkahwinan sesama jenis. Berdasarkan pemeriksaan di pusat kesihatan, pengantin lelaki disahkan memiliki alat kelamin ganda,” katanya kepada detikSulsel pada Isnin.
Pasangan berkenaan dikenali sebagai FM, 44, dan isterinya, TR, 32. Mereka melangsungkan perkahwinan pada 5 Mei lalu di Dusun Lacuco, Kampung Arasoe, daerah Cina, Bone.
Amal berkata, majlis resepsi mereka mula menjadi bualan orang ramai, menyebabkan pihak kampung memanggil pasangan tersebut untuk penjelasan lanjut.
“Saya panggil pasangan itu ke rumah ketua desa untuk minta penjelasan terbuka mengenai jantina FM. Pada ketika itu, FM mengakui dia memiliki dua alat kelamin,” katanya.
Susulan pengakuan itu, pemeriksaan perubatan dijalankan dan mendapati FM secara biologi lebih dominan sebagai lelaki walaupun turut memiliki struktur seperti faraj yang sangat kecil.
“Secara fizikal memang kelihatan seperti perempuan, tapi hasil pemeriksaan menunjukkan 80 peratus ciri-cirinya adalah lelaki. Ini bukan kehendaknya, ini kuasa Tuhan,” ujar Amal.
Tambahnya lagi, meskipun penampilan FM menyerupai wanita, isterinya TR mengesahkan bahawa suaminya itu seorang lelaki sejati dalam segala aspek.
“Isterinya sendiri kata suaminya gagah. Jadi tiada masalah. Dalam agama juga diiktiraf kewujudan individu khunsa atau dua alat kelamin,” jelas Amal.
Dalam Islam, individu yang dilahirkan dengan dua alat kelamin (khunsa) adalah satu ketetapan Ilahi dan mereka mempunyai kedudukan tersendiri dalam syariat serta hukum-hakam tertentu dalam perkahwinan. – Agensi