Suasana di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Sungai Long, Kajang semalam gempar selepas menerima kunjungan 'tetamu' tak diundang, seekor ular tedung hitam.

Reptilia itu ditemui melingkar di sekitar kawasan pondok pengawal di kediaman peribadi keluarga Perdana Menteri.



Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor memaklumkan, empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 petang.

"Anggota APM berjaya menangkap ular tedung hitam terbabit menggunakan peralatan khas.

"Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, anggota mengemas peralatan dan bertolak pulang ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Hulu Langat," menurut kenyataan.

APM memberitahu, Perdana Menteri bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat beramah mesra bersama anggota bertugas sebelum pulang ke pusat kawalan.

Sumber: Harian Metro