Berita pembebasan bekas anggota polis, Mohd Ya'cob Demyati, 57, dari Penjara Kajang kerana membunuh vokalis kumpulan Spoon, Along, mewarnai media massa tempatan semalam.

BERITA TRENDING: Pembunuh Along Spoon Terlepas Penjara Sepanjang Hayat

Mahkamah Persekutuan Putrajaya meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap Mohd Ya’acob kepada pemenjaraan 33 tahun dan dibebaskan hari ini kerana sudah dikira selesai menjalani hukuman itu.

Laporan pembebasan Mohd Ya’acob menarik perhatian ramai kerana mangsa kejadian iaitu Along merupakan seorang penyanyi popular semasa hayat.

Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik, disahkan meninggal dunia pada usia 19 tahun selepas polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Sebelum dilaporkan hilang pada 25 Disember, Along sedang menjalani dunia glamor selepas kumpulan yang dianggotainya, Spoon menjadi pujaan peminat sekitar akhir tahun 90-an.

Allahyarham Along bersama kumpulan Spoon yang ketika itu dianggotai Shanaz (pemain dram), Yahaya (bes), Boy (gitar utama) dan Nurul (gitar kedua) menjadi terkenal apabila single pertama mereka, Rindu Serindu Rindunya meledak di radio.

Lagu Rindu Serindu Rindunya diciptakan oleh komposer Eddie Hamid dan liriknya menerima sentuhan Man Toba.

Berbekal album pertama dengan nama Spoon yang dirilis pada 1998 dan lagu Rindu Serindu Rindunya, kumpulan ini menjadi kugiran baharu paling popular sebelum era 2000.

Album yang diterbitkan Childplay Music Productions itu telah terjual sehingga 100,000 unit.

Mahu mengakui atau tidak, generasi 80-an membesar dan menikmati alunan mendayu-dayu nyanyian Allahyarham menerusi Rindu Serindu Rindunya.

Jika generasi Alpha tidak mengenal siapa Along, generasi 80-an setuju untuk mengatakan jika pemuda belasan tahun tersebut mempunyai raut wajah tampan dengan senyuman manis dan penampilan baik — cukup pakej menjadi seorang artis atau vokalis dunia muzik tempatan.

Meski pembabitan Allahyarham dalam dunia seni tidak lama, namun Spoon sempat menghasilkan beberapa karya selain Rindu Serindu Rindunya buat peminat.

Ia termasuklah lagu seperti Mengecap Bahagia, Sekali Lagi, Memori Sekuntum Rindu dan Puncak Rindu Kasih Sayang.

Selepas pemergian Along, posisinya sebagai vokalis Spoon sempat digantikan oleh adiknya, Azlong pada 2000 namun tidak kekal dan meninggalkan kumpulan tersebut pada 2001.

Begitulah serba sedikit mengenai Allahyarham Along dan lagu Rindu Serindu Rindunya yang akan terus hidup dalam kalangan peminat.

Lirik Lagu Rindu Serindu Rindunya

Berikanlah jawapan
Huraikanlah simpulan
Biar tenang jiwaku
Setelah kasih lama berlalu
Tidak mungkin kulupa
Perjanjian kita
Di bawah rumpun bambu
Di kala bulan sedang beradu
Mengapa terjadi perpisahan ini
Di kala asmara melebar sayapnya
Mengapa kau pergi di saat begini
Di kala hatiku terlukis namamu
Kalau memang tiada jodoh
Apalagi nak ku heboh
Aku malu pada teman pada semua
Rindu, rindu serindu rindunya
Namun engkau tak mengerti
Pilu, pilu sepilu pilunya
Namun engkau tak perduli
Malu, semalu malunya
Namun apa daya orang tak sudi
Mahu, semahu mahunya
Namun apa daya orang dah benci
Mengapa terjadi perpisahan ini
Di kala asmara melebar sayapnya
Mengapa kau pergi di saat begini
Di kala hatiku terlukis namamu
Kalau memang tiada jodoh
Apalagi nak ku heboh
Aku malu pada teman pada semua
Rindu, rindu serindu rindunya
Namun engkau tak mengerti
Pilu, pilu sepilu pilunya
Namun engkau tak perduli
Malu, semalu malunya
Namun apa daya orang tak sudi
Mahu, semahu mahunya
Namun apa daya orang dah benci
Berikanlah jawapan
Huraikanlah simpulan
Biar tenang jiwaku
Aku malu