Ulama seluruh dunia Islam termasuk ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, ijmak mengenai keharusan hukum mengambil vaksin.

Susulan itu, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berpendapat hukum mengenai keharusan mengambil imunisasi vaksin COVID-19 dianggap mencapai taraf ijmak atau kesepakatan ulama mujtahid sedunia.

Malah pembangunannya turut dianggap sebagai perkara fardu kifayah.

"Boleh dikatakan hukum mengambil vaksin ini fardu kifayah seperti mana solat berjemaah.

"Gesaan supaya masyarakat tidak mengambil vaksin, umpama menyekat orang lain daripada mendirikan solat jemaah.

“Jika tidak mahu ambil vaksin, jangan pula gesa orang lain mengelak dari mengambilnya," katanya kepada Berita Harian.

Jelasnya, ijmak ialah kesepakatan ulama mujtahid dalam menetapkan suatu hukum berasaskan Al-Quran dan Hadis mengenai suatu perkara yang terjadi selepas zaman Rasulullah SAW.

“Fardu kifayah bererti perkara yang wajib dilakukan sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan ummah.

“Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bahawa seseorang sudah dianggap sebagai penipu dan pendusta walaupun sekiranya dia hanya menyampaikan apa sahaja yang didengarnya tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan perkara itu.

"Zaman media sosial sekarang menyaksikan ramai manusia lebih suka 'forward' (memanjangkan) mesej yang mereka terima umpamanya melalui aplikasi WhatsApp, tanpa mereka tahu kebenaran maklumat pada mesej itu.

“Perbuatan itu umpama kita sedang menyemai 'saham' dosa kita," katanya.

Afifi mengulas saranan pihak tertentu khususnya golongan anti vaksin yang dilihat kerap melontarkan persepsi buruk mengenai pengambilan imunisasi terbabit.

Sumber : Berita Harian