HIBURAN

Giliran Amy Search Buat Laporan Polis Terhadap Shila Amzah

Gempak 16/07/2025 | 09:25 MYT
Penyanyi, Datuk Amy Search membuat laporan polis terhadap Shila Amzah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada malam Rabu.

Peguam yang mewakili Amy iaitu Datuk M Reza Hassan berkata, laporan baharu yang dibuat anak guamnya itu bukan berkaitan kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebelum ini.

"Ya betul Amy ada membuat laporan polis terhadap Shila. Kes ini berbeza dengan laporan yang dibuat Shila sebelum ini.

"Bagaimanapun fakta kes ini bersangkut paut dengan kes yang sedang tular,"katanya ketika dihubungi mStar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan laporan dibuat Amy, malam tadi.

"Ya ada (laporan polis), tapi lebih kepada 'covering report' dan penafian, laporan dirujuk ke IPD (Ibu Pejabat Polis) Dang Wangi," katanya.

Terdahulu isteri Amy iaitu Datin Norhasniza Hassan berkongsi gambar mereka berada di balai polis bersama peguam.

Sebelum ini, pada 10 Julai lalu, penyanyi Shila Amzah telah membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi legenda.

Shila kemudiannya mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah Amy iaitu bapa kepada pelakon Nabila Huda.

Polis kemudian membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan telah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati Amy terhadap Shila yang didakwa mencampuri urusan keluarganya.

Sumber: Mstar

#Amy Search #Shila Amzah #Polis #Laporan