Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Gimik Keterlaluan AJL34, Drama Band Mohon Maaf

Amri Hassan
15/02/2020 04:19 MYT
Ekoran gimik keterlaluan ketika persembahan Anugerah Juara Lagu ke-34 pada Ahad lalu, Drama Band membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kenyataan media permohonan maaf kepada stesen televisyen berkenaan disiarkan menerusi akaun Instagam vokalis Drama Band, Aepul Roza, semalam.

"AJL34 telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada 9 Februari. Terima kasih kerana telah memberikan ruang dan peluang kepada Drama Band sebagai salah seorang finalis.

"Sehubungan itu, ruang persembahan yang diberikan oleh produksi amat dihargai oleh kami.

"Namun pelbagai isu telah timbul terutamanya di media sosial amatlah tidak dijangka.

"Justeru, dengan rasa rendah hati, kami memohon maaf atas gimik persembahan yang telah dipersembahkan.

"Kami mengambil iktibar atas segala yang terjadi dan menyesali perbuatan dan persembahan yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak.

"Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan sesiapa cuma sekadar menyampaikan karya seni melalui cabang muzik kepada masyarakat," jelas Drama Band.

Pada AJL34, Drama Band yang mempertaruhkan lagu Drama telah menampilkan beberapa watak yang dikatakan sinonim dengan beberapa kes viral yang berlaku sepanjang tahun 2019.

Selain itu, imej yang ditampilkan oleh Aepul Roza juga dianggap keterlaluan dan mengganggu pandangan peminat pada acara tersebut.

#Drama Band #Aepul Roza #AJL34