Tinggal beberapa hari sahaja sebelum tibanya malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA2022) yang bakal berlangsung pada 26 Februari depan.

Pastinya ramai peminat drama serta penyokong influencer, content creator dan barisan selebriti yang tercalon sedang giat mengundi pilihan masing-masing bagi memenangi kategori yang dipertandingkan.

Jika sebelum ini Gempak telah mengimbau kembali beberapa senarai top 5 antaranya Muzik Video Tergempak, Lagu Trending Tergempak dan Selebriti Digital Tergempak.

Apa kata kali ini Gempak kongsikan calon-calon top 5 bagi kategori Drama Trending Tergempak.

Kategori ini merupakan drama yang menjadi sebutan dan viral di media sosial.


#Suamiku Lelaki Pendosa

Drama adaltasi novel arahan Eyra Rahman ini menjadi tular kerana mempunyai unsur yang agak sensitif dan mengisahkan tentang lelaki songsang atau homoseksual.

Bagaimanapun Eyra memaklumkan dia telah merujuk setiap babak dihasilkan untuk drama berkenaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai inisiatifnya sebelum disiarkan.

Malah olahan jalan cerita dan skripnya juga dibuat mengikut kesesuaian tontonan masyarakat di Malaysia dan mengambil mengambil kira pelbagai aspek seperti sensitiviti penonton.

Pelakon: Datuk Aaron Aziz, Gambit Saifullah, Sophia Albarakbah, Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof.

#Melur Untuk Firdaus

Antara drama hebat yang menjadi kegilaan ramai sehingga tular ke negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Malah beberapa klip drama Melur Untuk Firdaus yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok juga mendapat sambutan hangat.

Hampir kesemua babak romantis lakonan mereka menjadi trending dalam media sosial khususnya TikTok.

Tidak cukup dengan itu, pelakon utamanya juga terkejut apabila diserbu peminat sebaik tibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta, Indonesia sebelum ini.

Drama ini mengisahkan tentang Firdaus Iskandar yang tidak bersetuju dengan rancangan ibu bapanya untuk mengahwinkannya dengan Melur kerana sudah mempunyai teman wanita, Dee.

Ibu bapanya memberikan tempoh 48 jam untuk Dee berkahwin dengan Firdaus.

Pelakon: Meerqeen, Anna Jobling, Fimie Don, Nesa Idrus, Haleeda Mazlin, Zainon Ismail, Kuza, Azhar Amir dan Hairi Safwan.

#Dendam Seorang Isteri

Jika anda pernah menonton drama Korea popular Temptation Of Wife, maka Dendam Seorang Isteri merupakan adaptasi versi Malaysia.

Boleh dikatakan ini merupakan antara drama berkualiti yang berjaya mencetuskan fenomena tersendiri apabila mencatat tontonan lebih 5.5 juta sekaligus menjadikan naskhah tersebut tersenarai dalam carta 10 program popular aplikasi penstriman Astro Go.

Disebabkan keberkesanan lakonan dan juga jalan ceritanya, drama ini berjaya membuatkan penonton beremosi.

Setiap kali ditayangkan episod baharu, pasti Dendam Seorang Isteri akan menjadi trending. Malah watak antagonis dalam drama itu juga sukses membuatkan penonton sakit hati.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini mengisahkan tentang Amira yang berkahwin dengan Harris berdepan dengan pergolakkan rumah tangga disebabkan munculnya Kirana.

Pelakon: Fasha Sandha, Nad Zainal, Wan Raja, Aidit Noh, Roy Azman, Zarynn Min, Sefik Khair, Amylea, Dian P.Ramlee, Ziema Din dan Sharmaine Farouk.

#One Cent Thief

Astro Originals mempersembahkan sebuah drama premium berjudul One Cent Thief diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia sebelum ini.

Bayangkan sebelum ditayangkan pun drama ini sudah menjadi trending sehingga apatah lagi dengan barisan pelakon hebat, jalan cerita mantap dan juga kualiti cinematografi yang cantik.

Buktinya One Cent Thief telah mencipta rekod menjadi drama nombor satu pilihan penonton di platform On Demand dengan jumlah unique viewers 159 ribu sehingga episod empat.

Bukan itu sahaja, One Cent Thief juga berjaya mencipta sejarah apabila tersenarai dalam Top 10 rancangan terbaik TV Asia 2022.

Mengisahkan tentang Iman Shah, seorang pekerja bank di Bintang Bank yang terdesak untuk membiayai kos rawatan serta melangsaikan hutang bapanya kepada ceti haram.

Dengan menggunakan kepintarannya, dia telah menggodam sistem keselamatan Bintang Bank untuk mencuri satu sen dari setiap akaun pelanggan bank dan berjaya mendapatkan jumlah wang yang besar.

Pelakon: Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Azira Shafinaz, Sofia Jane, Amerul Affendi, Fabian Loo, Aghonderan Sahadevan, Carmen Soo, Sathisvaran Magesvaaran, Rubi Rubini, Amir Nafis, Fadhli Masoot, Zain Hamid, Aleza Shadan, Syed Irfan dan Airiezara Jasmin.

#Kau Vs Aku

Antara drama yang membuatkan penonton terkenang kembali zaman persekolahan dan merindui momen berkenaan.

Buktinya, baru bersiaran sebanyak dua episod, drama terbitan sooka Originals Series ini sudah menjadi trending di TikTok dengan jumlah 41 juta tontonan.

Lebih hebat lagi, Kau vs Aku juga menduduki carta pertama sooka untuk tempoh sepanjang tiga minggu bersiaran.

Malah episod seterusnya juga berjaya menjadi trending sekali lagi di TikTok dan kali inj dengan lebih 206 juta tontonan!

Mengusahkan tentang kisah cinta penulis berbakat berusia 16 tahun yang hidupnya menjadi huru-hara apabila remaja popular di Instagram yang diminati berpindah ke sekolahnya.

Dunia Aulia Zulaikha digoncangkan bila bertembung dengan 'influencer' yang dibencinya, Danish Aryan.

Tapi bila bapanya mula mengatur masa depannya, Aulia melihat Danish sebagai jalan keluar.

Pelakon: Dini Schatzmann, Shasha Abdul, Mia Sara Shauki, Chubb-E dan Atikah Suhaime.

Jadi jangan lupa untuk mengundi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.