#GMWA2022 : Hafiz Mahamad Mahu Tunai Janji, 70 Pekerja Bakal Terima Bonus Sebulan Gaji - “Keseluruhan Hampir RM300,000”

Asyikin Mayudin
Februari 27, 2023 01:50 MYT
Sempena kemenangan Anugerah Gempak Most Wanted 2022, pempengaruh dan usahawan Hafiz Mahamad mahu memberikan satu hari cuti dan sebulan gaji bonus kepada pekerjanya.

Menurut Hafiz, dia mahu memberikan hadiah istimewa itu kepada pekerjanya yang bersungguh-sungguh mengundinya setiap hari.

“Saya tengok mereka punya kesungguhan itu buat saya rasa sayang. Jadi, saya niat kalau ada rezeki menang ni saya nak bagi satu hari cuti dan saya ada dua bisnes.

“Satu Ainaa Beauty dan Ainaa Clinic… untuk Ainaa Clinic itu saya akan bagi mereka satu bulan bonus gaji untuk raya nanti. Dan untuk Ainaa Beauty ada kejutan lain.

“Pekerja saya ada dalam 70 orang dan gaji mereka dalam RM2,500 hingga ke lebih RM3,000. Jadi mungkin keseluruhan bonus dalam hampir RM300,000,” ujarnya kepada Gempak.

Tidak menyangkakan dirinya tercalon, Hafiz turut memberitahu kemenangan itu sememangnya untuk semua pekerjanya.

“Bila ada anugerah macam ini dan tercalon, saya rasa pelik sebenarnya. Tapi masa awal percalonan itu, staf saya datang cakap ‘abang, kami nak abang menang’.

“Mereka memang nak sangat saya menang. Jadi saya cakap pada isteri, saya nak datang sini (GMWA) dan bawa something untuk mereka. Mereka sangat all out… hari-hari undi,” kata Hafiz.

Hafiz dinobatkan sebagai Gempak Most Wanted 2022 dengan undian tertinggi sebanyak 125,288 selain turut membawa pulang trofi Anugerah Digital Influencer Tergempak.

#Hafiz Mahamad #Hafiz #Gempak Most Wanted 2022 #GMWA2022 #Hafiz GMWA2022 #Hafiz bonus pekerja