GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
#GMWA2024: Elak ‘Persembahan’ Tidak Beradab, Sir Fathi Pesan Buat Konten Ikut Akal, Logik
Pempengaruh dan juga guru, Fathi Hussein yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Digital Creator (Motivation & Education) Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA24) menitipkan pesanan buat generasi muda yang sedang berjinak-jinak dan bakal memasuk ‘dunia’ sama agar berhati-hati dengan setiap konten yang mahu dipersembahkan kepada masyarakat.
Menurut Fathi yang mesra disapa Sir Fathi, setiap konten kreator atau pempengaruh mempunyai tanggungjawab besar dalam setiap konten yang dipersembahkan kepada masyarakat.
Justeru Sir Fathi yang juga terkenal sebagai motivator yang aktif berkongsi tentang ilmu Matematik menerusi media sosialnya menyeru agar konten yang disajikan bersifat membina dan memberi manfaat.
“Risiko menjadi seorang pempengaruh atau konten kreator adalah konten yang dipersembahkan kepada masyarakat. Bila mahu melakukan perkongsian perlu fikir dalam-dalam.
“Ada banyak pro dan kontra dan saya percaya semua ini datang daripada pelajaran, logik serta akal yang waras. Perkara ini perlu disemat secara halus dalam jiwa anak muda supaya jadi content creator mereka mempersembahkan konten yang bermanfaat dan membina.
“Negara akan makin maju dengan konten yang baik bukan yang kurang baik,” ujar Sir Fathir kepada Gempak.
Mengulas mengenai kemenangan, Sir Fathir yang menyifatkan dirinya sebagai edufluencer mengatakan kejayaan yang diperoleh bukan tentang dirinya seorang tetapi buat semua guru yang tidak pernah lelah mencurah bakti buat para pelajar.
“Kemenangan ini bukan tentang Fathir Hussein tapi buat guru-guru yang meletakkan pelajaran sebagai perkara utama.
“Penghargaan yang diberi oleh GMWA24 ini juga menjadi plaftorm buat guru-guru menunjukkan sisi pembelajaran adalah sesuatu yang cool dan fun.
“Ini mesej yang ingin kami sampaikan. Saya mahu tarik semua orang cintakan ilmu meski mengajar dalam keadah yang cool atau menjadi pemenang dalam anugerah hiburan seperti GMWA24 ini. Apapun education must win (pendidikan mesti menang),” ujarnya bersemangat.
Must-Watch Video